Seorang maut, 4 cedera insiden tembakan di hospital Atlanta


SEORANG maut sementara empat yang lain cedera dalam insiden tembakan di ruang menunggu sebuah hospital di Atlanta di selatan Amerika Syarikat (AS).

Polis menamakan Deion Patterson, bekas anggota Pengawal Pantai, sebagai suspek dalam kejadian tembakan di Hospital Northside, yang berlaku selepas tengah hari waktu tempatan.

Patterson dilaporkan masih bebas sehingga petang semalam.

“Suspek dipercayai bersenjata dan berbahaya dan tidak boleh didekati,” kata Jabatan Polis Atlanta di media sosial.

Mangsa berumur antara 25 dan 71 tahun, kata polis pada sidang media lewat petang semalam. Semuanya adalah wanita, kata Datuk Bandar Atlanta Andre Dickens.

“Kami disertai pelbagai bidang kuasa dalam usaha mencari Patterson,” kata ketua polis Darin Schierbaum, termasuk FBI dan Perkhidmatan Rahsia.

Sebelum kejadian, Patterson ditemani di ruang menunggu hospital oleh ibunya, yang tidak cedera dalam tembakan itu, kata Schierbaum. CNN melaporkan suspek kemudian menjadi berang sebelum melepaskan tembakan.

Terlalu awal untuk mengetahui sama ada mana-mana mangsa disasarkan secara khusus, tambah Schierbaum. Keluarga suspek memberikan kerjasama dalam siasatan, katanya.

Pihak berkuasa menyiarkan gambar Patterson, memakai seluar gelap, menutup kepala dan mengenakan pelitup muka sambil memegang pistol. – AFP, 4 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen