RUSSIA mendakwa Ukraine cuba menyerang Kremlin dengan menggunakan dron pada waktu malam dalam usaha membunuh Presiden Vladimir Putin.
Bagaimanapun Kyiv menegaskan pihaknya tiada kaitan dengan dakwaan serangan itu, sebaliknya menyatakan ia adalah provokasi Moscow.
“Kami tidak menyerang Putin atau Moscow. Kami hanya mempertahankan wilayah kami,” kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dalam lawatan ke Finland.
Perkembangan terbaru itu merupakan dakwaan paling serius pernah dibuat Moscow terhadap Kyiv sejak perang dengan jirannya bermula dalam tempoh 14 bulan.
Sekiranya dakwaan itu benar, ia boleh menyebabkan hubungan antara Russia dan Ukraine semakin tegang. Kedua-dua negara sekian lama bertelagah mengenai wilayah Crimea dan konflik di Timur Ukraine.
Pada hari sama, Kyiv berkata serangan Russia menyebabkan 21 terbunuh di wilayah Kherson di selatan Ukraine termasuk di sebuah pasar raya dan stesen kereta api.
Russia mengumumkan insiden dron itu selepas beberapa siri serangan sabotaj besar menjelang sambutan perayaan terpenting negara itu pada 9 Mei, menandakan kemenangan Soviet ke atas Nazi.
“Hari ini pada waktu malam, rejim Kyiv cuba menyerang kediaman Kremlin Presiden Persekutuan Russia dengan kenderaan udara tanpa pemandu.
“Dua kenderaan tanpa pemandu disasarkan ke Kremlin… peranti itu tidak berfungsi,” menurut kenyataan Kremlin.
Moscow mengesahkan Putin tidak cedera dan tiada kemalangan jiwa berlaku. – AFP, 4 Mei, 2023.
Komen