.jpg)
PENDEDAHAN terkini berkenaan firma penganalisa data, Cambridge Analytica (CA), dan pengaruh firma itu ketika Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) telah membangkitkan kebimbangan di seluruh dunia.
Facebook telahpun menggantung firma tersebut atas alasan menyalahguna data, di mana CA telah memperoleh lebih 50 juta data secara haram, dan pada masa yang sama kerajaan UK juga sedang menyiasat firma tersebut kerana melanggar hak privasi.
Kes ini juga bersangkut paut dengan Malaysia kerana CA sedang beroperasi di Malaysia. Laman web CA menyatakan bahawa firma tersebut beroperasi di AS, London, Brazil dan Malaysia.
Firma tersebut juga menyatakan di dalam laman web mereka bahawa mereka terlibat dengan kempen Umno-Barisan Nasional(BN) pada pilihan raya umum yang lalu.
Apa yang menimbulkan lebih tanda tanya adalah, apabila disoal oleh sebuah portal media atas talian tentang penglibatan mereka dengan kempen tersebut, Azrin Zizal, Ketua Strategic Communications Laboratory (SCL) Malaysia, syarikat induk CA, menidakkan sebarang penglibatan sedangkan CA telahpun mengiyakannya.
Padahal SCL Malaysia dan CA, menurut laman web masing-masing, berkongsi alamat operasi yang sama - dan ini juga menimbulkan tanda tanya kerana pemeriksaan oleh satu portal media atas talian di alamat yang dinyatakan menunjukkan bahawa rumah di alamat tersebut dimiliki oleh seorang individu yang langsung tidak tahu tentang kewujudan CA.
Bukan sahaja CA sedang disiasat kerana penglibatan mereka dengan Pilihan Raya Presiden AS selepas dibayar oleh Donald Trump, tetapi operasi mereka di Malaysia juga diragui.
Kaedah tidak beretika yang digunakan oleh CA untuk mengumpul data, dan penggunaan data tersebut untuk kempen yang mereka terlibat amatlah merisaukan sepertimana yang dibuktikan melelaui wawancara secara seludup bersama eksekutif tertinggi CA yang disiarkan oleh Channel 4 UK.
Eksekutif CA menyatakan dengan penuh bangga bahawa mereka menggunakan taktik kempen yang tidak bermoral untuk mempengaruhi pengundi.
Najib Razak mestilah menerangkan kenapa dan bagaimana Umno-BN terlibat dengan CA, berapakah yang dibayar kepada firma tersebut, dan jika terdapat sebarang penglibatan lagi dengan firma tersebut ia mestilah dipantau.
Jika terdapat sebarang penyalahgunaan data oleh firma tersebut di Malaysia, atau sebarang taktik kempen tidak bermoral yang digunakan termasuklah penyebaran berita palsu, tindakan haruslah diambil dan Umno-BN juga harus bertanggungjawab.
Pentadbiran Najib sibuk hendak menentang penyebaran berita palsu sedangkan mereka sendiri menggunakan firma yang berbangga untuk berbuat sedemikian ketika pilihan raya. Sifat hipokrit begini langsung tidak masuk akal, dan rakyat berhak mengetahui kebenaran. – 20 Mac, 2018.
* Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Ketua Pemuda Harapan dan Ketua Angkatan Muda Keadilan.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen