Menteri luar China adakan pertemuan dengan pemimpin de facto Myanmar 


Menteri Luar China, Qin Gang mengadakan pertemuan dengan pemimpin de facto merangkap Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing di Naypyidaw, Myanmar. – Gambar AFP, 3 Mei, 2023.

MENTERI Luar China, Qin Gang, pada Selasa bertemu dengan pemimpin de facto merangkap Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing di Naypyidaw, ibu negeri Myanmar.

Qin dalam ucapannya menyuarakan harapan China agar situasi di Myanmar kembali stabil serta berkembang maju.

Beliau berkata China menyokong Myanmar meneroka jalan pembangunan yang selaras dengan keadaan realiti negara sendiri serta bercirikan Myanmar.

“China juga mahu Myanmar terus mendorong proses transformasi politik, menyokong pelbagai pihak di Myanmar menangani perselisihan dalam rangka perlembagaan dan undang-undang sehingga menemui jalan penyelesaian,” kata Qin.

Menurut beliau, China menyeru masyarakat antarabangsa menghormati kedaulatan Myanmar dan memainkan peranan membina dalam penyelesaian perselisihan secara aman.

“China akan terus memberi bantuan bagi pembangunan negara itu, selain mempergiat pelaksanaan projek Koridor Ekonomi China-Myanmar dan program lain yang menguntungkan rakyat dalam bidang pertanian, pendidikan dan perubatan,” kata Qin.

Dalam konteksi hubungan Myanmar dengan Bangladesh, beliau berkata China menyokong kedua-dua negara itu memperbaiki hubungan, menyelesaikan isu berkenaan melalui rundingan, di samping bersedia menjalankan kerjasama dengan kedua-dua negara itu.

Aung Hlaing berkata, sejak Myanmar dan China menjalinkan hubungan diplomatik pada 70 tahun yang lalu, hubungan kedua-dua negara kekal berkembang dan mencapai hasil yang memuaskan.

“Myanmar bersama-sama China untuk terus meningkatkan kerjasama persahabatan bilateral, secara aktif membentuk komuniti berkongsi nasib Myanmar-China.

“Myanmar menyanjung tinggi terhadap China yang memegang pendirian objektif dan adil dalam isu melibatkan Myanmar, justeru kami mengalu-alukan China untuk terus memainkan peranan yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata pihaknya memandang serius keselamatan warga dan agensi China di Myanmar, bersedia bekerjasama dengan China untuk melindungi kesejahteraan kawasan sempadan antara kedua-dua negara.

Sempena lawatan itu, Qin turut bertemu bekas Pengerusi Jawatankuasa Keamanan dan Pembangunan Negara Myanmar, Than Shwe dan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya, U Than Swe. – Bernama, 3 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen