Kedutaan AS diarah bayar bekas pengawal keselamatan RM66,000


MAHKAMAH Perusahaan mengarahkan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur membayar pampasan RM66,000 kepada seorang pegawal keselamatan yang dipecat secara salah 15 tahun lepas.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan Amrik Singh dalam keputusan bertulis pada 27 April lalu memutuskan Kedutaan AS gagal membuktikan L Subramaniam melakukan salah laku sehingga perlu dipecat.

Dalam keputusannya, Amrik berkata pasukan peguam Kedutaan AS tidak memberi bukti berhubung dakwaan salah laku Subramaniam yang dikaitkan dengan cuti tanpa kebenaran.

Sebahagian besar hujah yang dikemukakan pasukan peguam kedutaan itu di luar bidang kuasa Mahkamah Perusahaan untuk mendengarnya, tambah Amrik.

Beliau di samping itu menegaskan isu bahawa Kedutaan AS kebal daripada bidang kuasa mahkamah tidak terpakai kerana kontrak pekerjaan Subramaniam dari 20 September 1998 sehingga diberhentikan secara salah pada 4 April 2008 tidak membabitkan pengendalian maklumat sulit yang boleh menjejaskan kedaulatan AS.

Amrik berkata walaupun sudah bekerja selama hampir 10 tahun di Kedutaan AS, Subramaniam tidak pernah dinaikkan pangkat ke jawatan yang lebih tinggi yang melibatkan pengendalian maklumat sulit.

Pengerusi Mahkamah Persekutuan itu menambah, sebagai warganegara Malaysia Subramaniam mempunyai hak untuk menuntut ganti rugi kerana dipecat secara tidak adil.

“Kontrak pekerjaan itu sendiri tidak memberikan petunjuk jelas mengenai undang-undang yang terpakai kepada pihak yang menuntut (Subramaniam) dan Kedutaan AS sekiranya terdapat pertikaian antara mereka. Terdapat pengabaian sepenuhnya terhadap hak rayuan pihak yang menuntut apabila dia telah menulis untuk memohon penjelasan mengenai pemecatannya.

“Pemohon tidak boleh dibiarkan untuk memikirkan sistem undang-undang mana yang terpakai untuk dia mendapatkan ganti rugi bagi pemecatannya apabila tiada sebarang maklum balas dikemukakan oleh Kedutaan AS pada masa pemecatannya.

“Perkara tambahan di sini jelas penuntut sebagai warganegara Malaysia menikmati hak di bawah undang-undang negara asalnya. Dalam kes ini, tiada bukti dokumentari dikemukakan untuk membuktikan bahawa tiada tuntutan atau prosiding boleh dibawa ke Mahkamah Malaysia kerana imuniti kedaulatan Kedutaan AS yang seterusnya memerlukan pihak menuntut menganggap kontrak pekerjaan itu sebagai bersifat komersial,” kata Amrik. – 2 Mei 2023. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen