Datuk bandar Muslim dilarang sertai majlis Aidilfitri White House


Sambutan Aidilfitri di White House pada Isnin turut dihadiri Presiden AS Joe Biden. – Gambar AFP, 2 Mei 2023.

SEORANG datuk bandar beragama Islam didakwa dihalang daripada menyertai sambutan Aidilfitri di White House yang turut dihadiri Presiden Joe Biden, pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Majlis Perhubungan Amerika-Islam di New Jersey (CAIR-NJ) menyelar tindakan perkhidmatan United States Secret Service terhadap Datuk Bandar Mohamed T Khairullah yang telah lama berkhidmat di New Jersey.

Menurut CAIR-NJ, White House hanya memaklumkan beliau tidak dibenarkan masuk sejurus sebelum majlis bermula. 

Pengarah Eksekutif CAIR-NJ Selaedin Maksut dalam satu kenyataan berkata tindakan itu disifatkan sebagai satu penghinaan dan tidak boleh diterima.

“Kami meminta White House supaya mengetepikan keputusan itu dan menjemput semua datuk bandar, membatalkan senarai pantau dan mengemukakan permohonan maaf kepada datuk bandar,” kata Maksut.

Jurucakap perkhidmatan itu, Anthony Guglielmi dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Khairullah tidak dibenarkan masuk ke White House untuk turut sama menghadiri majlis berkenaan. – Bernama, 2 Mei 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen