Vanessa Hudson wanita pertama dilantik CEO Qantas


Qantas umum Vanessa Hudson dilantik sebagai CEO, sekali gus menjadikan beliau wanita pertama yang dilantik memegang jawatan itu dalam sejarah 103 tahun syarikat. – Gambar Facebook, 2 Mei, 2023.

SYARIKAT penerbangan Qantas mengumumkan Vanessa Hudson dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO), sekali gus menjadikan beliau wanita pertama yang dilantik memegang jawatan itu dalam sejarah 103 tahun syarikat, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

Menurut Qantas, Hudson yang sudah berkhidmat di syarikat berkenaa selama 28 tahun akan secara rasmi mengambil alih jawatan itu selepas Mesyuarat Agung Tahunan 2023 pada November.

“Ini satu penghormatan besar untuk menerajui sebuah syarikat yang luar biasa,” katanya.

Beliau akan menggantikan Alan Joyce yang akan bersara.

Pengerusi Qantas Richard Goyder turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Joyce.

“Beliau banyak memberikan sumbangan besar kepada Qantas,” kata Goyder.

Joyce turut memuji langkah Qantas kerana mencipta sejarah dengan melantik ketua eksekutif wanita yang pertama.

“Saya…sangat gembira kerana dalam 103 tahun sejarah Qantas hanya terdapat 12 CEO, ini adalah CEO wanita pertama dalam tempoh itu dan itu adalah penghargaan kepada keupayaan wanita yang ada dalam pasukan pengurusan kami,” katanya. – Bernama, 2 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen