500 lari keluar dari Sudan menuju ke Arab Saudi


Rakyat Sudan terpaksa melarikan diri dari negara itu terutama di ibu kotanya, Khartoum susulan pergolakan antara tentera dan pasukan separa tentera RSF. – Gambar AFP, 2 Mei, 2023.

HAMPIR 500 tiba di Jeddah, Arab Saudi semalam menaiki dua kapal, iaitu kapal dari Amerika Syarikat (AS) dan satu lagi milik Arab Saudi, selepas melarikan diri dari Sudan yang sedang bergolak.

Kapal tentera laut AS USS Brunswick tiba di pelabuhan Laut Merah semalam membawa 308 penumpang, menurut TV Al-Ekhbariya, dengan rakaman menunjukkan ramai penumpangnya memakai kemeja T warna merah dengan tulisan “US Embassy”.

Sebanyak 105 daripadanya adalah warga AS, 100 warga Sudan dan selebihnya warganegara dari 15 negara lain, kata pihak berkuasa.

Kapal Arab Saudi membawa 171 individu dari Sudan, termasuk 41 warganegara Arab Saudi, sementara yang lain warganegara British dan AS.

Mereka antara yang berjaya dibawa keluar dari Sudan, dan tambahan kepada lebih 5,000 lagi pelarian yang mencari perlindungan di negara Teluk selepas pergolakan tercetus di Sudan.

AS menjalankan tiga konvoi sejak beberapa hari lalu untuk membantu orang ramai keluar dari Khartoum ke Pelabuhan Sudan di Laut Merah. – AFP, 2 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen