Wabak Salmonella di AS berpunca daripada tepung tercemar


Berdasarkan data makmal dan maklumat yang diperoleh daripada mereka yang dijangkiti, menunjukkan tepung Gold Medal tercemar dengan bakteria Salmonella. – Gambar Facebook, 2 Mei, 2023.

PENYIASAT mengenal pasti tepung sebagai punca kepada wabak Salmonella yang menjangkiti sekurang-kurangnya 13 orang di 12 negeri baru-baru ini, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, lapor Xinhua.

Berdasarkan data makmal dan maklumat yang diperoleh daripada mereka yang dijangkiti, menunjukkan tepung Gold Medal tercemar dengan bakteria Salmonella.

Tiga daripada mereka yang dijangkiti dimasukkan ke hospital.

“Tetapi jumlah sebenar mereka yang dijangkiti mungkin lebih ramai daripada dilaporkan. Ini kerana sesetengah mereka pulih tanpa rawatan perubatan dan tidak menjalani saringan untuk mengesan Salmonella,” menurut CDC.

Minggu lalu, syarikat pengeluar produk itu, General Mills, menarik balik beberapa produk yang mungkin tercemar dengan bakteria berkenaan.

Mereka yang dijangkiti, lazimnya akan mengalami cirit-birit, demam dan kekejangan perut dan gejala selalunya bermula enam jam hingga enam hari, selepas terdedah kepada Salmonella. – Bernama, 2 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen