Mahkamah benar syarikat import telur serah saman kepada Azmin melalui akhbar 


Pada 3 April, J&E Advance Tech menghantar surat tuntutan ganti rugi RM20 juta kepada Mohamed Azmin Ali kerana mendakwa ahli perniagaan Deepak Jaikishan memperoleh kontrak kerajaan untuk mengimport telur melalui rundingan terus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2023.

PENGIMPORT telur J&E Advance Tech Sdn Bhd dibenarkan menyerahkan salinan tuntutan saman kepada bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Mohamed Azmin Ali melalui perkhidmatan ganti, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar hari ini.

Elyse Ng, peguam bagi pengimport telur berkata syarikat itu tidak dapat menyerahkan salinan writ saman dan kenyataan tuntutan terhadap Azmin secara peribadi walaupun sudah banyak kali percubaan dilakukan.

Sehubungan itu, plaintif memfailkan permohonan untuk menyerahkan salinan dokumen melalui perkhidmatan gantian, dengan mahkamah membenarkan permohonan itu pada Jumaat lalu.

“Mahkamah membenarkan permohonan itu pada 28 April dan ia mengarahkan kami menyerahkan kertas kausa kepadanya dengan menyiarkan notis itu dalam akhbar tempatan,” kata Ng.

Perkhidmatan gantian biasanya hanya diberi apabila plaintif sudah berusaha sedaya upaya menyerahkan kepada defendan melalui cara tradisional. Ia digunakan apabila perkhidmatan peribadi tidak dapat dilaksanakan.

Pada 3 April, J&E Advance Tech menghantar surat tuntutan ganti rugi RM20 juta kepada Azmin kerana mendakwa ahli perniagaan Deepak Jaikishan memperoleh kontrak kerajaan untuk mengimport telur melalui rundingan terus.

Syarikat itu memfailkan saman terhadap Azmin, bekas ahli Parlimen Gombak dan kini Adun Bukit Antarabangsa, berhubung ucapannya semasa perhimpunan “Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Jenayah” di Dewan Dato Ustaz Gadzil Noor, Taman Melewar, Kuala Lumpur pada 11 Mac.

 Putrajaya membenarkan import telur dari India sebagai langkah sementara untuk mengatasi kekurangan sementara pengeluar domestik meningkatkan bekalan.

Deepak sebelum ini menafikan kaitan dengan J&E Advance Tech. Semakan ke atas maklumat syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat mendapati Deepak tidak disenaraikan sebagai pemegang saham atau pengarah dalam firma itu. – 2 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen