LEBIH 20,000 tentera Rusia terkorban dan 80,000 lagi cedera dalam tempoh lima bulan pertempuran di timur Ukraine, khususnya di Bakhmut, kata seorang pegawai White House pada Isnin.
“Kami menganggarkan Rusia mengalami lebih 100,000 korban, termasuk lebih 20,000 terbunuh ketika bertugas,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara John Kirby kepada pemberita.
“Percubaan Rusia melakukan serangan di Donbass, sebahagian besarnya melalui Bakhmut, gagal… Rusia tidak dapat merampas mana-mana wilayah yang sangat strategik,” kata Kirby.
Kirby, memetik perisikan Amerika Syarikat (AS) yang baru didedahkan berkata kira-kira separuh daripada mereka yang terbunuh adalah askar direkrut syarikat tentera swasta Wagner, yang menarik sebahagian besar adalah bekas banduan di Rusia.
Jumlah korban akibat pertempuran—dengan kejadian paling sengit di Bakhmut—lokasi paling banyak meragut nyawa sejak awal Disember, menurut angka AS.
“Usaha percubaan ini, khususnya di Bakhmut, melibatkan kos yang sangat tinggi. Rusia kehabisan stok peralatan dan angkatan tenteranya,” kata Kirby.
Kirby berkata tidak memberikan anggaran korban Ukraine kerana “mereka adalah mangsa di sini. Rusia adalah penceroboh.”
White House tidak akan mendedahkan maklumat secara umum yang akan menyukarkan lagi sekutu rapat Barat itu, yang kelengkapan tentera dibekal dan dilatih oleh gabungan negara diketuai AS, katanya. – AFP, 2 Mei, 2023.
Komen