2 beradik ditemukan lemas di Pantai Tanjung Buloh


DUA beradik perempuan ditemukan lemas di Pantai Tanjung Buloh, Tanjung Sedili, di Kota Tinggi petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari berkata Siti Nursalina Johari, 10, dan Siti Rabiah Johari, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan. 

Beliau berkata terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.39 petang sebelum sembilan anggota dari BBP Penawar dikejarkan ke tempat kejadian.  

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO), didapati benar terdapat empat sekeluarga yang lemas. 

“Bagaimanapun, dua daripada mereka iaitu ibu kedua-dua mangsa, Mersidita Yunos, 46, dan seorang lagi wanita, Saleha Haron, 27, berjaya diselamatkan oleh orang awam dan diberi rawatan awal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Khairul Sufian berkata jenazah Siti Nursalina dan Siti Rabiah telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.42 petang. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan kenyataan mengenai hal itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – Bernama, 1 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen