SURUHANJAYA siasatan diraja (RCI) berkenaan sistem pengambilan pekerja asing amat diperlukan kerana terdapat banyak penyelewengan dan rasuah dalam sistem itu selama bertahun-tahun, kata aktivis.
Bercakap kepada The Malaysian Insight mereka berkata sudah tiba masanya kerajaan menubuhkan suruhanjaya itu bagi meneliti amalan rasuah dan penyelewengan yang belum ditangani pihak berkuasa.
Gesaan mereka dibuat sebagai menyokong gabungan kesatuan sekerja yang menggesa pembaharuan untuk melindungi hak pekerja termasuk RCI.
Gabungan Pembaharuan Undang-undang Buruh (LLRC) yang terdiri daripada 58 kesatuan sekerja pada Ahad berkata RCI harus ditubuhkan untuk menyiasat amalan rasuah yang dikatakan dalam sistem pengurusan berpusat pekerja asing.
Ketua Meja Migran Parti Sosialis Malaysia (PSM) Rani Kumar berkata terdapat banyak masalah dalam sistem pengambilan pekerja yang tidak diberi perhatian oleh kerajaan.
Beliau menambah masalah itu juga mesti dilihat dari pandangan holistik sambil menambah satu penyalahgunaan dalam sistem akan membawa kepada penyalahgunaan yang lain.
“Terdapat begitu banyak salah guna kuasa dalam sistem pengambilan dan kerana satu penyalahgunaan, ia menjana lebih banyak amalan buruk.
“Orang tertentu mendapatkan wang, banyak wang daripada membawa masuk pekerja tanpa mengikut proses atau permintaan,” kata Rani.
Beliau berkata selama bertahun-tahun masalah itu tidak ditangani menyebabkan rasuah berleluasa dalam sistem.
“Tiada kemahuan politik untuk bermula. Orang atasan sudah mula rasuah, mereka yang di bawah tiada pilihan selain mengikut amalan itu.
“Ia tidak pernah ditangani. Baru-baru ini kita mendengar tentang penahanan beberapa orang yang didakwa menyalahgunakan kedudukan mereka untuk mendapatkan keuntungan haram.
“Dengan penahanan itu sudah tiba masanya kerajaan hari ini menubuhkan RCI,” jelasnya.
Awal bulan ini SPRM menahan dua pembantu Menteri Sumber Manusia V Sivakumar - pegawai kanan dan setiausaha sulitnya - serta ejen pengambilan pekerja asing dalam siasatan berterusan terhadap pengambilan buruh.
Ketiga-tiga mereka dibebaskan.
SPRM juga turut akan menjalankan siasatannya terhadap pegawai kanan dan ketua agensi di bawah kementerian itu.
Siasatan tertumpu kepada dakwaan mereka yang terlibat menubuhkan agensi pengambilan untuk mendapatkan kelulusan daripada kementerian walaupun terdapat konflik kepentingan. – 2 Mei, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen