Kerjasama China-Costa Rica wujud situasi sama menang, kata Presiden Chaves Robles 


Presiden Costa Rica Rodrigo Chaves Robles, menyifatkan keputusan menjalinkan hubungan diplomatik dengan China merupakan langkah paling tepat. – Gambar Youtube, 1 Mei, 2023.

PRESIDEN Costa Rica, Rodrigo Chaves Robles, menyifatkan keputusan yang dibuat negara ini untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan China merupakan satu langkah paling tepat.

Costa Rica merupakan antara negara Amerika Tengah yang pertama menjalinkan hubungan diplomatik dengan China pada abad baharu.

Ketika diwawancara Kumpulan Media China (CMG), beliau berkata Costa Rica menghormati prinsip Satu China dan hubungannya dengan China terus berkembang dan semakin kukuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pembangunan China yang amat pesat menjadikan China satu daripada dua entiti ekonomi paling penting di dunia. Costa Rica cenderung untuk menarik pelaburan dalam pembinaan infrastruktur dan juga berminat pada pasaran yang semakin meluas di China.

“Permintaan pasaran China terhadap produk protein semakin meningkat, manakala Costa Rica banyak mengeluarkan daging, buah-buahan dan sayur-sayuran. Maka, Costa Rica dan China berpotensi untuk mengecapi pencapaian yang memberikan situasi sama menang,” katanya.

Beliau berkata 75% ekonomi global mempunyai kaitan dengan negaranya dalam bentuk perjanjian perdagangan bebas.

“Maka, kami  amat mengalu-alukan syarikat China bertapak di negara ini. Terdapat hubungan semula jadi antara kedua-dua entiti ekonomi yang amat berbeza ini, yang boleh saling melengkapi dan kondusif bagi memantapkan lagi pembangunan ekonomi masing-masing.

“Bagi negara kecil seperti Costa Rica, China adalah pasaran yang sangat menarik,” tambah beliau.

China dan Costa Rica menjalinkan hubungan diplomatik pada tahun 2007 dan kedua-dua negara menandatangani Memorandum Persefahaman pembinaan bersama dalam rangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) pada September 2018. – Bernama, 1 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen