6,000 larikan diri dari Sudan ke Republik Afrika Tengah, kata PBB


Pelarian Sudan berlindung di kawasan Tandelti di Koufroun, Chad, dekat Echbara. Kira-kira 6,000 orang sudah melarikan diri dari negara berkenaan sejak dua minggu lalu. – Gambar AFP, 1 Mei, 2023.

KIRA-KIRA 6,000 orang kebanyakannya wanita melarikan diri dari pertempuran di Sudan ke negara jiran Republik Afrika Tengah sejak dua minggu lalu, kata agensi pelarian PBB kepada AFP semalam.

“Jumlah itu terdiri daripada 70% wanita, 15% kanak-kanak perempuan, 10% lelaki dan 400 dihantar pulang,” kata UNHCR menerusi Twitter pada Sabtu.

Berjuta-juta rakyat Sudan terperangkap di rumah mereka semasa pertempuran sengit antara tentera jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan bekas timbalannya Jeneral Mohamed Hamdane Daglo yang mengetuai Pasukan Sokongan Pantas (RSF).

Perang itu setakat ini membunuh sekurang-kurangnya 528 orang dengan 4,599 cedera, menurut angka rasmi yang secara meluas dianggap sebagai sesuatu yang dipandang remeh.

Republik Afrika Tengah yang terletak di barat daya Sudan adalah salah sebuah negara termiskin di dunia.

Ia sendiri mengalami konflik sivil sejak 2013 apabila pakatan pemberontak majoriti Islam, Seleka menggulingkan bekas presiden Francois Bozize.

Pada Khamis agensi penyelarasan kemanusiaan PBB (OCHA) mengumumkan hampir 3,000 orang memasuki negara itu di wilayah timur laut Vakaga yang bersempadan dengan Sudan, dan tinggal di kem sementara.

PBB berkata 75,000 orang yang melarikan diri daripada pertempuran dipindahkan di dalam Sudan manakala 20,000 lagi melarikan diri ke negara jiran Chad di barat. 

Seramai 4,000 lagi melarikan diri ke selatan ke Sudan Selatan dan 3,500 ke Ethiopia di tenggara. – AFP, 1 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen