PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte menawarkan ganjaran besar kepada sesiapa yang berjaya menangkap ketua militan Islam yang menakluk sebahagian daripada kawasan selatan Bandar Marawi ketika pihak tentera memberikan amaran yang pertempuran itu mungkin mengambil masa yang lebih lama.
Beratus militan bersenjata yang setia kepada kumpulan Negara Islam (IS) bertempur dalam serangan udara, ketumbukan tentera bersenjata dan darat di Marawi. Sehingga 2,000 orang awam dipercayai masih terperangkap dalam kawasan yang ditawan kumpulan militan itu, kata sumber kerajaan.
Pertempuran itu sudah membunuh sekurang-kurangnya 178 orang dan menyebabkan suku juta penduduk melarikan diri.
Ganjaran terbaru berjumlah sehingga 20 juta peso (AS$410,000) ditawarkan Duterte yang membawa kepada “penangkapan mati atau hidup” Isnilon Hapilon, Abdullah Maute dan adiknya Omarkhayam Maute, kata kenyataan tentera.
“Kami berharap ini akan mewujudkan pencapaian sebenar yang membawa kepada penangkapan Isnilon Hapilon dan adik beradik Maute,” kata Ketua Angkatan Tentera Jeneral Eduardo Ano dalam kenyataan itu.
Separuh daripada jumlah itu untuk Hapilon, yang disifatkan Ano sebagai “amir” atau pemimpin tertinggi IS di Filipina.
Kerajaan Amerika Syarikat juga menawarkan ganjaran AS$5 juta yang membawa kepada penangkapan Hapilon kerana menculik dan membunuh warganegara Amerika, selain daripada ganjaran sedia ada berjumlah 7.4 juta peso yang disediakan kerajaan Filipina.
Manila berkata tenteranya sedang bertarung dengan hampir 250 militan bersenjata yang menduduki tengah Marawi, bandar Islam terbesar dengan penduduk berjumlah 200,000 orang dalam negara majoriti Katolik itu.
Militan itu adalah gabungan daripada kumpulan Abu Sayyaf pimpinan Hapilon, yang dipersalahkan atas pengeboman maut serta penculikan, dan kumpulan militan diketuai adik beradik Maute yang berpangkalan di sekitar Marawi.
Lebih daripada 224,000 penduduk bandar itu dan kawasan berhampiran sudah melarikan diri sejak pertempuran bermula, kata kerajaan tempatan Isnin lepas.
Tidak lama selepas keganasan tercetus, Duterte mengenakan undang-undang darurat tentera di kawasan selatan Mindanao itu, yang mempunyai penduduk sehingga 20 juta orang, dalam usaha untuk menyikirkan IS daripada mewujudkan pangkalan di negara itu.
Tentera memberi amaran Isnin lepas yang usaha menewaskan militan, yang dipercayai terdiri daripada pejuang asing, terbukti “sukar” walaupun 120 orang militan sudah terbunuh.
Militan menggunakan rangkaian terowong bawah tanah dan bilik bawah tanah yang dibina bertahun dahulu di bawah bangunan yang mereka takluk, kata jurucakap tentera Leftenan Kolonel Jo-ar Herrera kepada AFP.
Mereka juga menyimpan senjata merbahaya seperti mesigan di dalam masjid dan sekolah tradisional Islam yang tidak boleh digempur melalui serangan udara dan bersenjata, tambahnya.
“Apa yang mereka lakukan bukanlah Islam,” katanya.
Bangunan itu dipercayai turut menyimpan bekalan sebulan makanan yang disimpan pemilik bangunan sempena bulan suci Ramadan yang kebetulan berlaku sewaktu pertempuran mula tercetus, tambah Herrera lagi. – AFP, 5 Jun, 2017.
Komen