PENGUNDI Pakatan Harapan (PH) sukar menerima jika Najib Razak diampunkan kerana kesalahan dilakukan bekas perdana menteri itu amat memalukan negara, kata pemimpin Amanah.
Ahli Jawatankuasa Amanah Hanipa Maidin berkata, pengundi tidak mudah lupa kesalahan Najib dan juga sebarang pelakuan rasuah meskipun PH bekerjasama dengan Umno dalam satu kerajaan.
Hanipa memberi amaran itu sewaktu Amanah diasak parti Najib apabila timbul gesaan dari pemimpin partinya yang menolak usaha memohon pengampunan ke atas perdana menteri keenam itu.
“Bagi saya, Umno tidak boleh merasakan hanya kerana PH bersama mereka, maka kerajaan PH akan dengan mudah melupakan begitu sahaja kes Najib atau sebarang kes rasuah di mahkamah.
“Jika Umno ada menyimpan hasrat itu bagi saya itu mimpi yang sangat liar.
“Justeru, saya tidak rasa pengundi PH boleh dengan mudah terima Najib diampunkan begitu mudah setelah mahkamah sendiri pernah kata jenayah 1MDB adalah kemaluan negara,” katanya
Dalam ulasan disiarkan portal Harapan Daily itu, Hanipa turut mengingatkan Umno bahawa kerjasama PH atas “pilihan yang lebih ringan mudaratnya di antara dua kemudaratan yang besar”.
Oleh itu Umno perlu sedar bahawa PH perlu berdepan pengundi ini semula, kata bekas timbalan menteri hal ehwal undang-undang itu.
“... Mungkin Amanah merasakan bahawa lebih besar mudaratnya jika dibiarkan PN dan PAS yang memerintah negara dibandingkan memilih Umno, BN bersama PH menerajui negara.
“Untuk berlaku adil kepada PH, Umno juga perlu sedar PH juga perlu menjawab kepada pengundi yang memilih PH dalam PRU yang lepas,” tambah bekas timbalan menteri itu.
Amanah terpaksa memohon maaf secara terbuka semalam selepas kenyataan pemimpin partinya yang menolak permohonan Umno kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan Najib.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub semalam berkata membuat permohonan maaf itu sendiri kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Ia ekoran kenyataaan dikeluarkan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang mungkin menyinggung atau melukakan Umno, katanya.
Salahuddin juga menegaskan setiap banduan berhak memohon pengampunan baginda.
Dalam kenyataan awal, Khalid permohonan itu menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan dan institusi Raja-Raja Melayu yang mahu membersihkan negara daripada penyelewengan.
Pemimpin Umno menyelar pendirian itu, seperti dinyatakan Ahli Majli Kerja Tertinggi Mohd Puad Zarkashi yang menyifatkan Amanah tidak boleh dipercayai kerana bersikap “kawan makan kawan”. – 1 Mei, 2023.
Komen