Guan Eng gesa OPR dikekalkan


Jawatankuasa Dasar Monetari di bawah Bank Negara Malaysia akan bermesyuarat esok untuk menentukan samada berlaku kenaikan OPR.

LIM Guan Eng menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahap 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan diadakan esok.

Pengerusi DAP itu menjelaskan sebarang kenaikan OPR akan juga menaikkan kos pinjaman pekerja dan mengurangkan pendapatan boleh dibelanja mereka.

“Sempena kita menyambut Hari Pekerja, kebimbangan utama 16.8 pekerja Malaysia adalah kos sara hidup dan pendapatan atau kadar upah yang saksama.

“Kadar pengangguran menurun sedikit kepada 3.5% atau 592,000 pekerja pada Februari 2023 berbanding 3.6% pada Januari 2023, menandakan momentum berterusan untuk pertumbuhan ekonomi bagi menjana pendapatan untuk sepadan dengan kos tekanan kehidupan.

“Tidak ada keperluan untuk BNM menaikkan OPR atau kadar faedah sekarang memandangkan Indeks Harga Pengguna (CPI) Mac turun kepada 3.4% daripada 3.7% pada Februari 2023,” kata Lim.

Pada Januari lalu, dilaporkan yang BNM dijangka akan menaikkan OPR kepada 3% daripada 2.75%, sekaligus meningkatkan semula kadar faedah yang diturunkan kerana pandemik Covid-19.

Menurut Standard Chartered Malaysia, pertumbuhan memberangsangkan dan kenaikan inflasi menyeluruh akan terus mengetatkan lagi dasar monetari.

Firma kajian itu berkata pertumbuhan Malaysia kekal kukuh, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 2022 dijangka mencapai 8.8%.

Mengulas lanjut, Lim berkata tumpuan sekarang sepatutnya kepada penjanaan pertumbuhan ekonomi.

Tambahnya, selari dengan penurunan ekonomi global, usaha mengekalkan pertumbuhan ekonomi adalah satu cabaran dengan jangkaan akan berlaku kelembapan ekonomi Amerika Syarikat.

“Ketidakmampuan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi kesan daripada kenaikan OPR dan beban berterusan kepada sebarang peningkatan kos kewangan mungkin menyebabkan perniagaan kecil gulung tikar dan menyebabkan pengangguran.

“Sambutan Hari Pekerja hari ini tidak bermakna jika BNM menaikkan OPR dalam mesyuaratnya esok.

“Satu-satunya penerima manfaat daripada kenaikan kadar faedah adalah bank, membantu menaikkan marjin faedah dan keuntungan mereka. BNM perlu menunjukkan yang ia mengambil kira kesengsaraan dihadapi pekerja dengan bersama-sama bersolidariti dengan tenaga buruh kita,” tekan Lim. – 1 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen