Muhyiddin kata Najib ada tabiat guna perunding seperti firma data


Kamles Kumar

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak tahu tentang Cambridge Analytica dengan Barisan Nasional ketika menjadi pengarah pilihan raya untuk Barisan Nasional pada PRU13. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mac, 2018.

BEKAS timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak tahu tentang Cambridge Analytica, syarikat penganalisis data yang melakukan kerja pilihan raya di Malaysia.

Bekas pemimpin Umno yang kini menerajui Bersatu berkata penggunaan syarikat perunding seperti itu adalah tabiat Perdana Menteri Najib Razak yang “suka buat hal sendiri”.

“Saya tidak tahu apa-apa. Najib buat apa-apa sendiri,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Putrajaya gemar mengupah firma media strategik untuk menaikkan imejnya dan hanya segelintir sahaja di dalam kerajaan yang mengetahui perkara ini.

Ia menjadi kontroversi apabila kerajaan mengupah PBC Media (UK) dan membayar RM28.35 juta - hampir £6 juta - bagi kempen “Global Strategic Communications Campaign” pada 2009.

Sejumlah RM29.34 juta telah dibayar kepada syarikat tersebut setahun sebelum itu.

Ia juga melibatkan firma perhubungan awam APCO Worldwide bagi mengurus masalah politik dan krisis pengurusan serta dipercayai telah membayar RM77 juta untuk perkhidmatannya.

Muhyiddin ialah pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) ketika masih bersama Umno. Beliau digugurkan daripada Kabinet pada 2015 dan disingkirkan daripada parti pada 2016, dan kini presiden Bersatu.

Malaysia antara negara di mana Cambridge Analytica melakukan kerja untuk mengumpul data dan profil orang ramai untuk disesuaikan dengan mesej kempen pilihan raya.

Di laman web Cambridge Analytica, Malaysia disebut sebagai kajian kes di mana ia menjalankan kerja pilihan raya untuk BN di Kedah dengan kempen disasarkan kepada penambahbaikan sekolah sejak 2008.

BN memenangi Kedah semua daripada Pakatan Rakyat pada PRU13, memenangi 21 daripada 36 kerusi DUN dan 10 daripada 15 kerusi Parlimen di negeri itu.

Pengakuan dua eksekutif kanan syarikat itu dirakamkan menerusi video secara sembunyi oleh wartawan Channel 4 News.

Dalam rakaman tersebut, eksekutif berkenaan mengakui bahawa firma tersebut turut melakukan kerja pilihan raya di Malaysia.

Laporan video oleh media UK itu turut mendakwa syarikat berkenaan menggunakan kaedah tidak beretika untuk menyokong kempen pelanggan termasuk menyusun perangkap, yang dinafikan oleh Cambridge Analytica.

Dalam sidang media sama, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata mungkin kerajaan persekutuan yang berurusan dengan syarikat itu, bukannya BN Kedah.

“Tidak ada rekod menunjukkan kerajaan negeri Kedah buat semua itu. Kedah tidak pernah ada campur tangan luar dalam pilihan raya kami,” kata Dr Mahathir.

Cambridge Analytica bekerja untuk kempen pemilihan Presiden Donald Trump pada 2016.

Ia diharamkan oleh Facebook kerana gagal memadam data pengguna yang diperolehi daripada satu pembuat aplikasi ujian psikologi popular.

Menurut laman webnya, ia mempunyai pejabat di beberapa bandar besar di seluruh dunia termasuk di pinggir bandaraya Kuala Lumpur, Kota Damansara.

Tetapi kunjungan The Malaysian Insight ke alamat yang tersenarai di laman web berkenaan pada Ahad lalu dan mendapati alamat itu membawa kepada sebuah kediaman berpagar di kawasan komuniti tertutup di Kota Damansara, Selangor.

Pemilik rumah dua tingkat itu yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau tinggal di rumah berkenaan sejak empat tahun lalu. – 20 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen