Hubungan diplomatik baik bantu kejayaan Ops Sudan, kata penganalisis


Malaysia berjaya membawa pulang rakyat Malaysia yang terkadas di Sudan. – Gambar Facebook Zambry Abd. Kadir, 30 April, 2023.

HUBUNGAN diplomatik yang baik dan kukuh antara Malaysia dengan negara luar menyumbang kepada kejayaan Ops Sudan dalam membawa rakyat Malaysia yang terkandas di Khartoum, Sudan keluar dari negara yang sedang berkonflik itu, kata Penganalisis Keselamatan dan Politik Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.

Beliau berkata elemen Pengiktirafan Antarabangsa yang terkandung dalam sembilan Teras Dasar Keselamatan Negara  2021-2025 itu membuktikan operasi berkenaan berjalan baik dan mendapat kerjasama sepenuhnya dari negara luar.

“Pengiktirafan Antarabangsa dan kerjasama yang baik di antara ketua-ketua utama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bantuan daripada kerajaan Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi, berjaya membawa keluar mereka dan ini merupakan satu contoh diplomasi yang baik,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata kejayaan Ops Sudan sudah semestinya menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

“Ini menunjukkan kemampuan negara dalam memastikan Dasar Keselamatan Negara diangkat sepenuhnya. Mekasnisme Diplomasi Awam, Pengiktirafan Antarabangsa, keselamatan rakyat dan kemampuan kedutaan patut dibanggakan,” katanya.

Jumaat lepas operasi membawa pulang 30 rakyat Malaysia dari Sudan ketika negara itu dilanda konflik selesai dengan kesemua mereka selamat tiba di tanah air setelah melalui perjalanan 30 jam menempuh jarak 1,233 kilometer dari Sudan.

Sementara itu Felo Penyelidik, Universiti Utara Malaysia - Teknologi Maklumat (UUM-ITS) merangkap Pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Antarabangsa UUM Muhammad Afifi Abdul Razak berkata ini bukan kali pertama Malaysia menjalankan operasi seperti itu dan krisis Rusia-Ukraine pada tahun lepas merupakan pendekatan diplomasi Malaysia yang wajar dicontohi.

“Kejayaan Ops Sudan boleh dianggap sebagai penerus kejayaan yang terdahulu… memiliki hubungan baik dengan negara-negara luar dan diperkasakan dengan Wisma Putra, diplomat di Sudan dan pegawai yang berkemahiran tinggi, ia dapat menjayakan Ops Sudan,” katanya.

Beliau berkata Ops Sudan bukan sahaja berjaya menyelamatkan rakyat negara ini malah Malaysia turut membantu membawa beberapa rakyat negara lain dari Sudan antaranya Amerika Syarikat, Kemboja, Singapura, Filipina dan Thailand, keluar daripada negara berkonflik itu. – Bernama, 30 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen