Tiada sebab Amanah perlu minta maaf kepada Umno


Faisal Tehrani

Semalam, Naib Presiden Amanah Salahuddin Ayub menyampaikan permohonan maaf kepada Umno susulan kenyataan Pengarah Komunikasinya Khalid Samad yang merayu agar Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar Facebook, 1 Mei, 2023.

TIADA sebab mengapa Amanah harus meminta maaf kepada Umno ekoran kata-kata salah seorang pemimpinnya iaitu Khalid Samad mengenai Najib Razak.

Tugas dan peranan kerajaan perpaduan adalah memberikan pentadbiran yang stabil, memperbaiki ekonomi negara, melakukan reformasi selagi daya (memandangkan ia bukan kerajaan Pakatan Harapan), membendung rasisme dan ekstremisme agama, selain mencegah korupsi baharu yang mungkin berlaku.

Fungsi ini juga barangkali terpakai di beberapa negeri meskipun meragukan dan perlahan.

Celah manakah agenda kerajaan perpaduan ini untuk membebas dan mengusahakan pengampunan seorang penjenayah kleptokrat?

Tidak ada sebab mengapa Amanah harus meminta maaf kepada Umno ekoran kata-kata salah seorang pemimpinnya iaitu Khalid Samad mengenai Najib. Amanah tidak patut menjadi sebodoh Umno.

Ada tiga sebab Najib tidak wajar diampunkan.

Pertama, sayugia kita mengingatkan Umno di negara lain rentetan skandal kewangan yang melibatkan kleptokrat ini, masih ada perbicaraan berlangsung dan masih banyak hukuman dijatuhkan kepada pesalah dan koruptor berkait skandal 1MDB sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Ambil sahaja tuduhan dan hukuman oleh juri Mahkamah Persekutuan Washington sebelum Aidilfitri lalu yang mensabitkan kesalahan terhadap penyanyi rap yang juga pemenang Anugerah Grammy, Prakazrel ‘Pras’ Michel dari kumpulan hip hop The Fugees atas tuduhan jenayah.

Michel didapati berkomplot dengan ahli perniagaan Malaysia yang kini dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low untuk cuba mempengaruhi pentadbiran dua bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dan Donald Trump.

Michel dihadapkan 10 pertuduhan konspirasi, bertindak sebagai ejen kerajaan asing, mengganggu saksi, pengubahan wang haram dan memalsukan rekod kewangan kempen.

Manakala terdapat pula perbicaraan kes saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiga subsidiarinya terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri Najib Razak yang hanya akan bermula 16 Oktober 2024 di Mahkamah Tinggi.

Ini berhubung dakwaan salah guna dana berjumlah AS$250 juta bagi membiayai penerbitan filem serta membeli hartanah.

Tiga subsidiari 1MDB itu adalah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited. Perbicaraan kes saman itu akan berlangsung sepanjang Oktober dan November 2024.

Kita juga perlu ingat yang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berhubung dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk mendapatkan bukti serta keterangan bagi siasatan dana syarikat pelaburan 1MDB ini. Masih banyak yang terbenam dan belum terbongkar.

Celah manakah ada peluang untuk  koruptor dan penjenayah besar ini dapat bebas dan diampunkan?

Kedua, Umno jangan berkhayal untuk mengampun dan membebaskan Najib. Harus diingatkan yang bala kewangan dari skandal ini masih dipikul negara.

Salah seorang yang berteriak-teriak mahukan Najib bebas dan diampunkan ialah Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan, yang dia sendiri tahu bala dari 1MDB ini masih dibebani oleh rakyat negara ini.

Anda perlu tahu yang Ahmad Maslan sendiri ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat memberitahu Parlimen yang kerajaan sehingga ini membayar hutang 1MDB berjumlah RM43.8 bilion dengan baki yang belum dibayar sebanyak RM9.7 bilion melibatkan RM5 bilion prinsipal (wang pokok) dan RM4.7 bilion faedah.

Dalam pada itu kerajaan juga memperoleh sebanyak RM33.6 bilion daripada dapatan semula aset 1MDB dan RM8 bilion daripada penyelesaian dengan firma pelaburan Abu Dhabi International Petroleum Investment Company (IPIC).

Kecelakaan hutang ini tidak sepatutnya dibiarkan. Harus diingat beban pembayaran hutang ini dipikul oleh rakyat beberapa keturunan.

Maka tiada sebab penjenayah dan kleptokrat harus diampunkan. Juga tidak ada sebab Amanah harus jadi bodoh meminta maaf menyuarakan sesuatu yang betul.

Bala hutang piutang yang dahsyat ekoran korupsi ini mendapat perhatian Raja-Raja Melayu. Maka kita harus mengambil berat titah-titah baginda Sultan.

Sebagai misalan Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar tanpa berlapik menggesa kerajaan perpaduan dan SPRM agar membersihkan pentadbiran kerajaan ini dan mengenakan hukuman keras terhadap perlakuan rasuah.

Sultan Ibrahim bertitah reputasi Malaysia terjejas akibat rasuah yang disuarakan oleh baginda sebagai kanser.

Dalam satu laporan, baginda dengan tegas bertitah, “Ubah. Bersihkan seluruh sistem dan bersihkan yang korup, tidak kira siapa pun mereka. Tidak kira sama ada usia mereka mencecah 100 (tahun) atau belum mencapai 100. Tiada alasan. Jika Najib boleh dimasukkan ke dalam penjara, bagaimana dengan orang lain? Reputasi Malaysia terjejas kerana rasuah. Kita perlu singkirkan kanser ini.”

Selain Sultan Johor, Sultan Perak paling konsisten dalam menyuarakan rasa benci baginda terhadap pengamal rasuah dan korupsi.

Baginda Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar pada Mac lalu menekankan supaya, “Jangan diulangi kesilapan mereka yang terdahulu, jangan sama sekali dihampakan harapan rakyat dengan mengulangi kesilapan yang sama, apatah lagi jika melakukannya secara lebih buruk.”

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-66 Baginda di Istana Iskandariah yang ikut dihadiri oleh pemimpin Umno seperti Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru celah mana Umno berangan ingin membebaskan pesalah jenayah rasuah dan korupsi?

Sultan Nazrin memberi amaran yang “pemimpin harus bijak membaca mesej rakyat dan secara bijaksana mentadbir urus negara secara berhikmah dengan daya tadbir yang bijak yang dilaksanakan melalui mekanisme berkesan, cekap lagi telus; iaitu mekanisme tadbir urus yang tidak menyeleweng serta jauh daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.”

Baginda seterusnya bertitah, rakyat mengimpikan pemerintahan adil dan saksama, berlandaskan undang-undang yang dikuatkuasakan tidak secara selektif, badan kehakiman berintegriti, dikendalikan oleh barisan hakim yang tidak memihak, tidak gentar serta bebas daripada campur tangan politik.

Baginda dengan telus mengaitkan ini dengan keputusan PRU yang lalu, titah baginda: “Setelah 65 tahun mencapai kemerdekaan dan setelah 15 kali pilihan raya umum diadakan, rakyat kini menuntut kepada menu baharu dan resipi baharu, dalam persekitaran politik yang baharu. Rakyat yang semakin celik huruf, mengutamakan faktor-faktor integriti, amanah dan ketelusan.”

Kerajaan perpaduan bawah Anwar Ibrahim yang ikut disertai oleh Amanah tidak patut memberi muka kepada mana-mana permintaan dan desakan serta binaan naratif politik untuk mengampunkan penjenayah korupsi dan kleptokrat.

Tiga sebab musabab di atas sudah memadai untuk tidak mengampunkan Najib. Umno mesti sedar diri dan tahu malu dalam menyuarakan nafsu untuk melihat bekas pemimpin mereka berjimba kembali.

Jika kerajaan perpaduan runtuh akibat perilaku Umno yang mahukan pemimpin mereka dibebaskan maka ia jatuh dalam keadaan bermaruah dan berintegriti. Rakyat selaku pengundi tahu kuasa mereka. Tidak ada sebab Amanah harus meminta maaf kepada Umno.

Rasuah adalah musuh negara ini; pelaku rasuah dengan itu lebih jijik dan dahsyat daripada komunis dan tidak patut diampunkan. – 1 Mei, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen