Keperluan sambung cuti sekolah tidak mendesak, kata ibu bapa dan guru


Noel Achariam

Meskipun gelombang haba yang melanda negara kini membimbangkan namun penutupan sekolah bukan penyelesaian terbaik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Mei, 2023.

KUMPULAN guru dan ibu bapa melihat bukan keperluan mendesak untuk menyambung cuti sekolah susulan cuaca panas yang ekstrem memandangkan masih ada cara untuk mencegah berlakunya strok haba.

Sebaliknya mereka mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu pelajar mengatasi gelombang haba.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata antaranya dengan tidak mengenakan tali leher, blazer dan weskot.

Katanya langkah ini akan memberi keselesaan kepada pelajar ketika gelombang haba melanda negara.

“Sesetengah sekolah memaksa pelajar memakai pakaian tambahan. Maka pakaian seragam tambahan itu tidak sepatutnya dikuat kuasakan. Malah blazer dan weskot tidak patut ada dalam senarai pakaian seragam pun,” katanya.

Beliau juga menyuarakan seruan pendidik yang lain untuk mengehadkan aktiviti kokurikulum untuk semua pelajar.

“Aktiviti ini harus ditangguhkan atau dijalankan dalam kawasan berbumbung dengan pengudaraan yang cukup seperti dalam bangunan,”katanya.

Jumaat lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata jemaah menteri akan membincangkan keperluan melanjutkan cuti sekolah berikutan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.

Katanya urus setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara sudah bermesyuarat dan melaksanakan usaha penyelarasan dengan pelbagai kementerian serta jabatan berkaitan.

“Kini negara kita dilanda haba panas terutama di negeri Kelantan di mana terdapat dua kematian. 

“Saya fikir itu (lanjutan cuti sekolah) harus dibincangkan di peringkat jemaah menteri,” katanya.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia setahun tujuh bulan dilaporkan meninggal dunia akibat strok haba di Kelantan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon juga bersetuju lanjutan cuti sekolah tidak diperlukan kerana ia akan menjejaskan hari pembelajaran pelajar.

“Kecuali suhu melampau, penutupan sekolah boleh dilaksanakan bagi mengelakkan pendedahan kepada dehidrasi.

“Apa yang penting ibu bapa perlu nasihatkan anak-anak untuk minum banyak air dan pastikan anak-anak mereka membawa air ke sekolah

“Sekolah juga perlu pastikan untuk tidak buat sebarang program dan aktiviti di luar bilik darjah,” katanya.

Kata Fouzi, apa yang penting untuk memastikan kesihatan pelajar ketika mereka ke sekolah dan sentiasa memantau kesihatan dengan bertanya tentang langsung kepada pelajar.

“Guru perlu nasihatkan pelajar minum air selalu dan pastikan pengurdaraan bilik darjah dalam keadaan baik,” aktanya.

Didik anak-anak

Sementara Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin berkata meskipun gelombang haba ini membimbangkan namun penutupan sekolah bukan penyelesaian terbaik.

“Bukan saja ia akan mengganggu pembelajaran, kita juga tidak mendidik anak-anak tentang langkah untuk melindungi diri mereka.

“Seperti yang dinasihatkan pakar perubatan, kita perlu banyak minum air dan elak aktiviti luar ketika matahari terik.

“Saya fikir kita kena didik anak-anak kita dan pelajar tentang itu,” katanya.

Katanya, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka membawa air yang cukup ke sekolah dan guru-guru juga hendaklah memastikan bekalan air cukup untuk semua pelajar.

“Walaupun kita tutup sekolah, ia tidak menjamin kejadian tidak diingini tidak akan berlaku sekiranya anak-anak tidak diberitahu dengan jelas apa yang perlu dilakukan.

“Terutama apabila majoriti ibu bapa bekerja dan tak dapat memantau anak-anak mereka sepanjang masa.

“Jadi sama ada di sekolah atau tidak, anak-anak perlu dimaklumkan dengan jelas apa yang perlu dibuat dan perlu dielak,” katanya. – 1 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen