KENYATAAN pengarah komunikasi Amanah Khalid Samad mengenai isu pengampunan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak adalah pendapat peribadinya dan bukannya pendirian keseluruhan parti berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid yang juga Presiden Umno berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu selepas mengadakan perbincangan dengan pimpinan tertinggi Amanah.
“Saya harap individu itu (Khalid) dapat membezakan pendapat peribadi dengan pendirian parti keseluruhan.
“Bagi saya, beliau harus belajar menghormati rakan parti lain dalam komponen kerajaan perpaduan,” kata beliau ketika ditemui media pada majlis sambutan Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria, Putrajaya hari ini.
Pada 27 April, Khalid dilaporkan berkata Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan supaya menolak permohonan Najib untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.
Rentetan itu, Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman dilaporkan berkata Umno Kelantan mempertimbangkan untuk memutuskan kerjasama dengan Amanah di Kelantan sekiranya Khalid tidak menarik balik kenyataan itu yang menyinggung perasaan ahli Umno keseluruhannya.
Mengulas lanjut, Zahid berkata Khalid sepatutnya bertemu dengannya bagi mendapatkan pencerahan mengenai pendirian Umno berhubung isu pengampunan terhadap Najib.
“Jangan hanya baca apa yang tersurat, lihat apa tersirat, ini penting kerana kita dalam parti pelbagai dalam kerajaan perpaduan dapat wujudkan keharmonian,” katanya.
Mengenai perkara yang dibangkitkan Umno Kelantan, Zahid berkata beliau meminta kepimpinan Umno negeri supaya menyelesaikan perkara berbangkit secara baik.
Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang ditemui ketika menghadiri sambutan Aidilfitri itu berkata beliau mewakili parti Amanah memohon maaf terhadap kenyataan yang dikeluarkan Khalid.
“Kadang-kadang kita terlanjur dan tiada malunya untuk kita memohon maaf sekiranya ia melukakan. Elok kita selesaikan dan move forward untuk perpaduan negara dan juga rakyat,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. – Bernama, 30 April, 2023.
Komen