POLIS Kelantan merekodkan sebanyak 586 kes kemalangan dalam Op Selamat 20 bermula 20 hingga 27 April sempena Aidilfitri ini.
Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata jumlah kes berkenaan berkurangan sebanyak 112 kes berbanding Op Selamat 18 tahun lalu iaitu sebanyak 698 kes.
Beliau turut menyatakan rasa berpuas hati dengan perancangan dan tindakan yang dibuat pihaknya sepanjang operasi berkenaan.
“Kami mencapai sasaran kerana dapat menurunkan semua kes kecuali kematian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program community policing Ketua Polis Kelantan bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang hari ini.
Muhamad Zaki berkata bagaimanapun, berlaku peningkatan kes kemalangan maut sepanjang lapan hari operasi itu dijalankan.
“Jumlah kes kemalangan maut mencatatkan 14 kes dengan 14 kematian berbanding hanya 9 kes tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata isu kelancaran trafik dalam kalangan perantau yang pulang ke Kelantan berikutan penutupan laluan utama Gua Musang-Kuala Lipis bagi memberi laluan pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU), turut dapat diatasi sempena cuti sambutan Aidilfitri.
“Dalam apa pun keadaan (situasi) masalah jalan raya yang dialami di Gua Musang yang menggusarkan masyarakat, kita dapat mengatasinya. Ini hasil kerjasama daripada semua pihak yang turut sama membantu mengatasi masalah kesesakan jalan raya sempena musim perayaan,” katanya. – Bernama, 30 April, 2023.
Komen