Jadikan perayaan, budaya pelbagai pengikat persaudaraan rakyat, kata Anwar


Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersalaman dengan rakyat ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kota Kinabalu, Sabah hari ini. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 30 April, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mahu perayaan dan budaya yang pelbagai di negara ini menjadi ciri utama yang mengikat persaudaraan seluruh lapisan masyarakat rakyat Malaysia.

Anwar menerusi catatan di Facebook selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri kerajaan Sabah di Kota Kinabalu hari ini berkata setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan memastikan nilai kepelbagaian terus utuh dengan kasih sayang.

“Tugas kita adalah memastikan nilai kebhinekaan (kepelbagaian) ini mesti terus utuh dengan kasih sayang dan sikap keprihatinan yang tinggi,” kata beliau.

Perdana menteri juga mahu masyarakat terus menyemarakkan cahaya dan nilai murni Aidilfitri sepanjang Syawal yang sedang diraikan.

Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dihadiri Yang Dipertua Negeri Juhar Mahiruddin dan isteri Norlidah RM Jasni serta Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan isteri Juliah Salag selain lebih 20,000 tetamu. – Bernama, 30 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen