PRN: Rundingan kerusi PN hampir 50 peratus, kata PAS


Kata Idris berkata jentera parti di pelbagai peringkat terutama di negeri-negeri yang tidak terlibat dengan PRN akan dikerah khususnya bagi membantu PN mengekalkan kemenangan di Kelantan, Terengganu dan Kedah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2023.

RUNDINGAN pembahagian kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kini hampir 50 peratus selesai.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada enam negeri terbabit berhubung perkara itu sebelum ia dimuktamadkan di peringkat pusat.

“Saya fikir sudah hampir 50 peratus (perbincangan) cuma buat waktu ini kita sedang perhalusi perkara berkaitan pertukaran kerusi dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Perak di Arena Amanjaya Lawin di Lenggong hari ini.

Beliau berkata jentera parti di pelbagai peringkat terutama di negeri-negeri yang tidak terlibat dengan PRN akan dikerah khususnya bagi membantu PN mengekalkan kemenangan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sebelum ini, media melaporkan PRN membabitkan negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijangka dilangsungkan serentak Jun ini. – Bernama, 30 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen