Utusan khas Korea Selatan, AS bincang ancaman Pyongyang


Sung Kim selaku utusan khas untuk AS mengadakan pertemuan dengan Kim Gunn pada Selasa di luar persidangan Asan Plenum 2023. – Gambar fail AFP, 30 April, 2023.

UTUSAN khas Korea Selatan dan Amerika Syarikat mengadakan pertemuan di Seoul bagi membincangkan kaedah kerjasama untuk menangani ancaman nuklear dan ketenteraan Korea Utara, menurut kenyataan Kementerian Luar Korea Selatan pada Ahad.

Sung Kim selaku utusan khas untuk AS mengadakan pertemuan dengan Kim Gunn pada Selasa di luar persidangan Asan Plenum 2023.

“Kedua-dua pihak berkongsi penilaian mereka mengenai situasi keselamatan di Semenanjung Korea dan membincangkan tindak balas bersama terhadap ancaman nuklear Korea Utara,” lapor agensi berita Yonhap.

Selain itu, kedua-dua pihak juga sepakat untuk mengukuhkan penyelarasan mengenai Pyongyang bagi menghentikan provokasi dan kembali kepada rundingan penghapusan senjata nuklear berdasarkan perjanjian yang dicapai di sidang kemuncak Korea Selatan-AS di Washington minggu lalu.

Ia adalah rundingan ketiga selepas sesi dua hala di Seoul pada 6 April dan perbincangan melalui telefon pada 13 April. – Bernama, 30 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen