PRN: Pembahagian kerusi BN, PH ditentukan lepas DUN bubar, kata Tok Mat


Mohamad Hasan berkata proses rundingan mengenai agihan kerusi di enam negeri terbabit masih berjalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2023.

KEPUTUSAN pengagihan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hanya akan dibuat selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dibubarkan.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata keputusan itu akan dibuat di peringkat pusat dalam blok BN serta PH dan proses rundingan mengenai agihan kerusi di negeri terbabit masih berjalan.

“Keputusan pembahagian kerusi belum dibuat lagi, biar gerak kerja dilakukan dahulu, kalau cerita tentang kerusi memang akan (ada) masalah, (keputusan) pembahagian akan dibuat selepas pembubaran DUN, pada masa itu nanti kita sudah tiada pilihan, kita terus bersetuju dan terus bergerak ke hadapan.

“Jangan cerita tentang kerusi dulu, tetapi fikirkan bagaimana kita nak menang di bawah kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Pertahanan itu bersama keluarganya di Kampung Tanjong, Rantau, Negeri Sembilan hari ini.

Turut hadir memeriahkan majlis Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Luar Zambry Abdul Kadir dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

Mohamad yang juga pengarah pilihan raya BN menjelaskan rundingan pengagihan kerusi adalah antara dua blok parti iaitu BN dan PH dan bukannya antara parti politik. – Bernama, 30 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen