Bank komersial sendiri mudahkan pembiayaan PKS, kata Premier Sarawak


Abang Johari Openg berkata sebuah institusi kewangan akan diwujudkan di Sarawak bagi membantu usahawan PKS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 April, 2023.

CADANGAN kerajaan Sarawak untuk mewujudkan bank komersialnya sendiri baru-baru ini bertujuan memudahkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapat pembiayaan kewangan, sekali gus meningkatkan pembabitan mereka dalam perkembangan ekonomi.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata memandangkan sektor ekonomi Sarawak dijangka meningkat, adalah penting bagi kerajaan mencari jalan membantu PKS untuk turut sama memajukan sektor berkenaan.

“Masalahnya adalah mereka tidak dapat pinjaman kewangan walaupun projek bagus.

“Oleh itu, saya sedang berusaha mungkin dalam tahun ini atau akhir tahun (bagi membolehkan) Sarawak mempunyai bank komersialnya sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Aidilfitri di Gedong, kira-kira 90 kilometer dari Kuching, hari ini.

Abang Johari berkata setakat ini cadangan penubuhan itu masih di peringkat perbincangan dan beliau akan berusaha untuk merealisasikan perkara itu.

“Saya tidak dapat nak umumkan lagi (perinciannya)... kena bincang dahulu dengan majoriti (pihak yang berkaitan). Saya yakin (bank) ini akan menjadi pemangkin kepada industri kecil dan sederhana,” katanya.

Pada Selasa, Abang Johari dilaporkan berkata sebuah institusi kewangan akan diwujudkan di Sarawak bagi membantu usahawan kecil dan sederhana menceburi ekonomi baharu.

Beliau juga dilaporkan berkata butiran lanjut mengenai institusi terbabit akan diumumkan dalam tempoh dua bulan. – Bernama, 30 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen