AS desak China hentikan tindakan provokatif


Sebuah kapal Pengawal Pantai China menyekat kapal peronda Filipina yang membawa wartawan di perairan Laut China Selatan, menyebabkan kedua-dua kapal hampir berlanggar. – Gambar Facebook, 30 April, 2023.

AMERIKA Syarikat (AS) mendesak China menghentikan perbuatan provokatif dan tidak selamat di Laut China Selatan, kawasan yang menjadi pertikaian beberapa negara.

Tuntutan itu dibuat selepas sebuah kapal Pengawal Pantai China menyekat kapal peronda Filipina yang membawa wartawan di perairan itu, menyebabkan kedua-dua kapal hampir berlanggar.

Keadaan itu sekali gus meningkatkan polemik menjelang lawatan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr ke White House.

Jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller dalam satu kenyataan dua hari sebelum Presiden AS Joe Biden menjadi tuan rumah kepada rakan sejawatannya dari Filipina, berkata China melakukan gangguan dan ugutan terhadap kapal Filipina di perairan itu.

“Kami menyeru Beijing untuk menghentikan kelakuan provokatif dan tidak selamat,” katanya sambil menambah sebarang serangan ke atas angkatan bersenjata Filipina bakal mencetuskan tindak balas AS.

Biden berusaha untuk memperkukuh hubungan dengan sekutu di Asia memandangkan hubungan AS-China kekal dingin daripada segi sejarah dan kedudukan Filipina sebagai laluan laut utama.

Selain itu, Taiwan juga memberikan kepentingan strategik yang khusus kepada AS.

Beijing menuntut kedaulatan hampir keseluruhan Laut China Selatan, sekali gus mengabaikan keputusan antarabangsa yang tuntutan itu tidak mempunyai asas undang-undang. – AFP, 30 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen