Parti politik, polis diminta bekerjasama sepanjang PRU14


Muzliza Mustafa

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata polis diingatkan tidak menggunakan kekerasan kepada orang awam sebaliknya bekerjasama dengan parti politik untuk mengelak berlakunya kekecohan ketika PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Mac, 2018.

PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) akan berlangsung dalam keadaan aman dan teratur jika semua parti politik memberikan kerjasama penuh kepada polis sepanjang tempoh itu.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata polis juga diingatkan supaya tidak menggunakan kekerasan kepada orang awam sebaliknya bekerjasama dengan mereka untuk mengelak berlakunya kekecohan.

“Adakan kerjasama dengan semua parti politik. Jangan guna gas pemedih mata. Jangan guna meriam air pun. Kerjasama dengan mereka. Tetapi jika anda perlu gunakan kekerasan, guna hanya jika ia benar-benar diperlukan,” katanya kepada pegawai polis di Kuala Lumpur petang ini.

Zahid juga mengingatkan dirinya dan semua parti politik supaya tidak melakukan provokasi terhadap polis dalam apa juga keadaan.

“Jangan cabar polis. Jika anda mahu demokrasi, berikan kerjasama penuh kepada polis. Kami akan buat yang terbaik untuk berlaku adil.

“Saya harap PRU14 akan jadi yang paling aman dan teratur dengan kurang masalah jika semua parti bekerjasama,” katanya.

Zahid menyampaikan mandat “terakhirnya” sebelum PRU14 kepada pasukan polis. Semua kontinjen di seluruh negara juga dapat mendengar mandatnya secara langsung menerusi telesidang.

Beliau memuji anggota polis kerana melakukan tugas dengan baik dan berkata pasukan itu kini 100% bersedia untuk menghadapi PRU14.

Zahid turut mengumumkan pegawai polis yang bertugas ketika PRU14 akan diberikan separuh daripada elaun sebelum dihantar ke kawasan yang ditetapkan.

Sementara itu, bakinya akan dibayar sekurang-kurangnya 30 hari selepas tugas berakhir.

“Kerana dalam Islam elaun perlu dibayar sebelum peluh kering. Wang sekarang ada dengan jabatan polis. Agihkan. Saya sangat mengambil berat dengan pegawai saya dan ini juga penghargaan untuk komitmen mereka,” katanya.

PRU14 dijangka diadakan sebelum Jun. – 20 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen