PROTES terbaru membantah pelan kontroversi pembaharuan badan kehakiman Israel mula bergerak ke tengah Tel Aviv pada Sabtu, ketika pembantah mula memberi tekanan sebelum wakil rakyat kembali ke Parlimen.
Pembantah rang undang-undang itu sejak Januari lepas melakukan protes di pusat komersial dan seluruh negara, walaupun Perdana Menteri Benjamin Netanyahu tidak memberikan apa-apa perkembangan terkini pembaharuan kontroversi itu sejak sebulan lepas.
“Sejarah sedang tengok anda,” kata satu placard dipegang penunjuk perasaan di Tel Aviv, di mana mereka menyalakan sular dan mengibarkan bendera negara itu untuk menunjukkan ketidakpuasan politik mereka.
Masyarakat Israel berpecah disebabkan perundangan itu, yang mahu melemahkan kuasa Mahkamah Agung dan memberikan lebih kuasa kepada politikus dalam pemilihan hakim.
Pentadbiran berhaluan kanan Netanyahu berhujah yang cadangan itu diperlukan bagi menyeimbangkan kuasa antara badan kehakiman dan wakil rakyat dipilih, sementara pembantah merasakan ia adalah satu ancaman kepada demokrasi.
Protes mingguan itu menarik ribuan orang untuk turun ke jalanan di Tel Aviv. Channel 12 Israel menganggarkan hampir 150,000 orang menghadiri protes pada Sabtu, manakala Channel 13 meletakkan angka pada sekitar 200,000 orang.
Protes berlaku ketika rundingan antara parti politik dianjurkan Presiden Isaac Herzog berlaku bulan ini, yang mahu mencari titik tolak ansur terhadap pakej pembaharuan itu.
Rundingan itu dilancarkan selepas Netanyahu mengumumkan penangguhan proses perundangan pada 27 Mac bagi menghalang perpecahan negara ketika protes awam dan mogok semakin memuncak.
Bagaimanapun, pembangkang terus curiga dengan niat perdana menteri dan hingga kini tiada kata putus diperolehi.
Dengan Parlimen akan bersidang pada Isnin selepas berehat, kedua-dua pihak sedang meningkatkan tekanan kepada politikus.
Ketua pembaharuan itu, Menteri Kehakiman Yariv Levin, berucap kepada ribuan orang penyokongnya di Baitulmaqdis pada Khamis.
Protes menyokong pembaharuan itu turut dihadiri Menteri Kewangan Betzalel Smotrich yang berikrar kerajaan tidak akan mengalah.
Kabinet Israel sekarang terdiri daripada pakatan parti haluan kanan, pelampau haluan kanan dan ultra-Ortodox Yahudi yang mula berkuasa pada hujung Disember lalu. – AFP, 30 April, 2023.
Komen