Brazil batal gantung Telegram


Telegram digantung operasi di Brazil selepas gagal bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan aktiviti neo-Nazi. – Gambar AFP, 30 April, 2023.

SEORANG hakim Brazil semalam membatalkan penggantungan aplikasi Telegram yang dikenakan mahkamah selepas syarikat induknya gagal menyediakan data diminta pihak berkuasa mengenai neo-Nazi yang beroperasi menggunakan aplikasi itu.

Mahkamah mendenda Telegram 1 juta reais (RM884,000) sehari dan mengarahkan penggantungan sementara aktivitinya kerana gagal membantu siasatan aktiviti neo-Nazi dalam rangkaian sosial media itu yang dikaitkan dengan keganasan di sekolah.

Bagaimanapun, Hakim Flavio Lucas memutuskan yang penggantungan aplikasi itu di seluruh negara “tidak berasas” kerana ia menjejaskan “kebebasan komunikasi ribuan orang yang langsung tidak ada kaitan dengan fakta siasatan,” kata Mahkamah Persekutuan Serantau 2 di Rio de Janeiro dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, hakim meneruskan denda harian yang dikenakan sebelum ini.

Menteri Kehakiman Flavio Dino minggu lepas berkata kumpulan dengan nama anti-Semitic “bergiat dalam rangkaian itu dan kita tahu ini adalah teras keganasan terhadap kanak-kanak kita,” tambahnya merujuk kepada beberapa siri serangan di sekolah.

Awal bulan ini, seorang lelaki membawa parang membunuh empat kanak-kanak berumur antara empat hingga tujuh tahun di sekolah mereka dan pada minggu sama dua lagi serangan di sekolah berlaku tanpa kematian.

Bulan lepas, seorang budak lelaki berusia 13 tahun membunuh seorang guru menggunakan pisau di sebuah sekolah di Sao Paulo.

Pada November, seorang penembak berusia 16 tahun membunuh empat orang dan mencederakan lebih 10 orang dalam serangan berkembar di Aracruz, di negeri Espirito Santo.

Laman berita G1 memetik sumber polis melaporkan yang remaja itu didakwa berinteraksi dengan kumpulan anti-Semitic di Telegram. – AFP, 30 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen