Perompak bersenjata serbu butik Bulgari di Paris


SEKUMPULAN perompak bersenjata merempuh masuk butik barangan kemas mewah Bulgari di Place Vendome di Paris, pada waktu siang semalam, melarikan barangan kemas dianggarkan bernilai jutaan euro, kata polis.

Tiga suspek menaiki motosikal masuk ke premis yang terletak di kawasan tumpuan pelancong kira-kira 1.45 petang, kata sumber polis memetik maklumat awal.

Dua daripada suspek membawa senjata, kata sumber dan mereka memukul seorang pengawal keselamatan.

Jumlah barangan yang dilarikan sedang dinilai, kata sumber lain.

Butik Bulgari yang sama turut menjadi sasaran rompakan di siang hari pada September 2021, apabila perompak terbabit melarikan barangan bernilai 10 juta euro.

Rakaman video dimuat naik di media sosial semalam menunjukkan dua motosikal besar berwarna hitam diletakkan di depan premis itu.

Seorang lelaki memakai helmet membawa senapang dan berbaju hitam kelihatan berkawal di depan premis.

Tidak lama kemudian, tiga lelaki dilihat melarikan diri dari tempat kejadian menaiki dua motosikal berkenaan.

Susulan rompakan pada 2021 di butik Bulgari itu, salah seorang perompak cedera di kaki akibat tembakan polis. Dia ditahan, didakwa dan dipenjarakan.

Pada Jun 2022, dua lagi suspek berusia 26 dan 37 tahun pada masa itu, ditahan. – AFP, 30 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen