POLIS sedang memburu seorang penembak yang disyaki menembak mati lima warga Honduras selepas mereka memintanya berhenti melepaskan tembakan di laman rumahnya, kerana mereka sedang menidurkan bayi.
Polis tempatan berkata ia adalah insiden tembakan rambang beramai-ramai terbaru di Amerika Syarikat (AS).
Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun adalah antara mangsa insiden itu apabila penembak dipercayai sedang mabuk merempuh masuk ke rumah mereka dan melepaskan tembakan.
Suspek dipercayai berang selepas keluarga mangsa memintanya berhenti menembak di laman rumahnya kerana terlalu bising.
Sheriff San Jacinto Greg Capers, iaitu daerah di utara Houston, menyifatkan tempat kejadian sangat mengerikan selepas pihak berkuasa bergegas ke rumah mangsa apabila menerima aduan berkenaan “gangguan” kira-kira 11.30 malam semalam.
Mangsa berusia antara lapan hingga 40 tahun bergelimpangan dari pintu depan hinggalah ke dalam bilik tidur, di mana dua daripadanya – kedua-duanya wanita – ditemui mati di atas dua kanak-kanak yang terselamat daripada insiden itu.
“Mangsa sebenarnya cuba untuk menjaga dan memastikan bayi mereka selamat,” katanya.
Semua mangsa ditembak di leher dan kepala, katanya.
Polis turut menemui beberapa mangsa lain dalam keadaan kritikal akibat kecederaan daripada tembakan.
Suspek dipercayai minum arak dan berkata “Suka hati saya hendak buat apa di laman rumah saya sendiri”, kata sheriff.
“Semua mangsa berasal dari Honduras,” kata Capers kepada media, menambah kira-kira 10 orang berada di dalam rumah itu pada masa kejadian.
Menteri Luar Honduras Enrique Reina mendesak suspek dibawa ke muka pengadilan.
Pihak berkuasa Texas berkata waran tangkap dikeluarkan terhadap Francisco Oropeza, 39, warganegara Mexico atas lima tuduhan membunuh. – AFP, 30 April, 2023.
Komen