Anak Noh Omar tanding tiket Bersatu di Selangor, lapor media


Nurul Syazwani dijangka bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri bawah kawasan Parlimen Tanjong Karang menggunakan tiket Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2023.

NURUL Syazwani Noh, anak perempuan kepada bekas pengerusi Umno Selangor Noh Omar, dijangka bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Selangor bawah tiket Bersatu, lapor Utusan Malaysia.

Nurul Syazwani dijangka bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri bawah kawasan Parlimen Tanjong Karang, kata sumber yang dipetik laporan itu.

“Iya, namanya ada dalam senarai, namun biar pimpinan pusat yang mengumumkannya,” kata sumber yang tidak dinamakan.

Kawasan Parlimen Tanjong Karang mempunyai dua kerusi negeri iaitu Sungai Burong dan Permatang.

Noh memberitahu Utusan Malaysia beliau tidak menghalang niat anaknya jika mahu bertanding pilihan raya atas tiket Bersatu dan menyerahkan perkara itu kepada pimpinan Bersatu.

“Saya memang tidak suruh mahupun menghalang anak saya untuk bertanding dan menceburi bidang ini, itu hak dia dan saya tidak akan masuk campur.

“Sebagai bapa, saya sudah pasti akan turun membantu kempen untuknya jika dia dicalonkan untuk bertanding dalam PRN Selangor nanti,” katanya.

Nurul Syazwani menyertai Bersatu selepas bapanya dipecat dari Umno pada Januari lepas. Beliau kini mengetuai sayap Srikandi Muda Bersatu Tanjong Karang.

Noh antara nama besar Umno yang tidak dicalonkan semula pada PRU15.

Beliau yang tidak pernah kalah di Tanjong Karang sejak 1995 mendakwa namanya digugurkan daripada jadi calon pilihan raya kerana lantang mengkritik beberapa keputusan politik presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Pada hujung Januari, Majlis Kerja Tertinggi Umno pada awalnya menggantung keahlian Noh selama enam tahun tetapi menggantikan keputusan itu kepada pecat dari parti atas permintaannya sendiri. – 29 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen