Polis tahan 2 warga Taiwan suspek kes tembakan


DUA warga Taiwan yang dikehendaki kerana disyaki terlibat dengan kes tembakan di negara berkenaan, ditahan pada 20 April lepas di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika memasuki Malaysia melalui penerbangan dari Taiwan.

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata kedua-dua suspek juga dipercayai ahli kongsi gelap serta anggota sindiket scammer di Taiwan.

Beliau berkata suspek ditahan susulan waran tangkap yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Taiwan, di samping pasport kedua-dua mereka dibatalkan oleh kerajaan Taiwan, dan tangkapan dibuat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat PDRM (Polis Diraja Malaysia) dengan pihak berkuasa Taiwan, dan kolaborasi ini akan diteruskan untuk mengenal pasti rangkaian jenayah berkait kedua-dua suspek di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek telah diserahkan kepada wakil polis Taiwan di KLIA semalam untuk dibawa pulang ke negara asal.

Acryl Sani berkata PDRM komited dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

“PDRM juga akan mengambil langkah-langkah keselamatan bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan negara transit atau destinasi bagi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya. – Bernama, 29 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen