Pihak berkuasa Mexico selamatkan 63 pendatang diculik


Ribuan pendatang yang melarikan diri daripada keganasan dan kemiskinan berisiko diculik dan dieksploitasi di tangan kumpulan penjenayah semasa melintasi Mexico dalam perjalanan ke sempadan AS. – Gambar AFP, 29 April, 2023.

PIHAK berkuasa Mexico berkata mereka menyelamatkan 63 pendatang yang dilaporkan diculik di negeri barat laut Sonora berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS).

Seramai 13 remaja bawah umur adalah antara pendatang yang ditemui selamat di Sonoyta, sebuah bandar di seberang sempadan dari Lukeville, Arizona, kata pejabat pendakwa negeri Sonora pada Khamis.

Operasi mencari dilancarkan awal hari itu sebagai tindak balas kepada amaran dikeluarkan oleh konsulat Ecuador mengenai beberapa rakyatnya yang diculik, kata satu kenyataan.

Pendatang yang ditemui termasuk 43 warga Ecuador, sembilan warga Colombia, lima warga Mexico, empat warga Venezuela, seorang rakyat Peru dan Dominica, tambahnya.

Ecuador mengalu-alukan kejayaan menyelamat itu dalam satu kenyataan dan menggesa warganya “tidak melakukan perjalanan secara tidak teratur untuk mengelakkan risiko kepada nyawa dan maruah manusia.”

Pejabat pendakwa raya tidak melaporkan sebarang tangkapan semasa operasi itu, yang melibatkan tentera dan polis, tetapi berkata ia sedang menyiasat pihak bertanggungjawab.

Ribuan pendatang yang melarikan diri daripada keganasan dan kemiskinan berisiko diculik dan dieksploitasi di tangan kumpulan penjenayah semasa melintasi Mexico dalam perjalanan ke sempadan AS. – AFP, 29 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen