BAGI pasukan penyelidik Kanada dan Perancis, awan gelap di kaki langit membimbangkan bukan kerana ia menandakan ribut yang semakin hampir—tetapi kerana baru-baru ini ditemui dalam kajian ia membawa bakteria kebal ubat-ubatan dalam jarak jauh.
“Bakteria ini biasanya hidup di permukaan tumbuh-tumbuhan seperti daun, atau di dalam tanah, ” kata pengarang utama Florent Rossi dalam temu bual telefon pada Jumaat.
“Kami mendapati ia dibawa oleh angin ke atmosfera dan boleh melakukan perjalanan jauh—ke seluruh dunia—pada altitud tinggi dalam awan,” katanya kepada AFP.
Penemuan itu diterbitkan dalam jurnal Science of The Total Environment edisi bulan lalu.
Para penyelidik dari Universiti Laval di Bandaraya Quebec dan Universiti Clermont Auvergne di Perancis mengkaji gen tahan antibiotik daripada bakteria yang ditemui dalam sampel awan.
Sampel diambil dari stesen penyelidikan atmosfera yang terletak 1,465 meter di atas paras laut di puncak Puy de Dome, gunung berapi tidak aktif di tengah Perancis antara September 2019 dan Oktober 2021.
Analisis ke atas kabus yang diambil mendedahkan ia mengandungi antara 330 hingga lebih 30,000 bakteria bagi setiap mililiter air awan, purata sekitar 8,000 bakteria er mililiter.
Mereka juga mengenal pasti 29 subtipe gen tahan antibiotik dalam bakteria.
Kebal ubat-ubatan berlaku apabila bakteria terdedah kepada antibiotik dan membina imuniti terhadapnya selama beberapa generasi.
Pihak berkuasa kesihatan berulang kali memberi amaran yang penyesuaian ini menjadikannya lebih sukar - dalam beberapa kes mustahil - untuk merawat jangkitan bakteria tertentu kerana penggunaan antibiotik terus meningkat dalam penjagaan kesihatan dan pertanian.
Kajian itu tidak memberikan kesimpulan mengenai potensi kesan kesihatan terhadap penyebaran dalam atmosfera bakteria kebal antibiotik—menganggarkan hanya 5 hingga 50% daripada organisma boleh hidup dan berpotensi aktif.
Tetapi Rossi mencadangkan risiko mungkin rendah.
“Suasana sangat tertekan untuk bakteria, dan kebanyakan yang kami temui adalah bakteria alam sekitar, ” yang kurang berkemungkinan berbahaya kepada manusia, jelasnya. “Jadi orang ramai tidak perlu takut untuk berjalan dalam hujan.”
“Tidak jelas sama ada gen tersebut akan tersebar kepada bakteria lain,” tambah Rossi.
Bagaimanapun, pemantauan atmosfera boleh membantu menentukan sumber bakteria kebal ubat-ubatan—sama seperti ujian air sisa Covid-19 dan patogen lain—“untuk mengehadkan penyebarannya,” katanya. – AFP, 29 April, 2023.
Komen