Henti komen tidak sepatutnya isu pengampunan Najib, kata Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa semua pihak berhenti beri komen yang tidak sepatutnya berhubung isu pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2023.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa semua pihak agar berhenti memberikan komen yang tidak sepatutnya berhubung isu pengampunan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

“Kita serahkan kuasa mutlak ini kepada Yang di-Pertuan Agong. Jadi ini adalah budi bicara baginda dan saya tidak mengalukan-alukan pendapat mana-mana pertubuhan apatah lagi parti politik yang bersahabat dengan kita yang memberikan komen tidak sepatutnya,” katanya.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Umno Bahagian Pontian di Dewan Muafakat Kompleks Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian di Benut.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad hari ini yang merayu agar permohonan pengampunan bekas presiden Umno itu ditolak.

Pada 9 April lepas, Zahid dilapor berkata hasrat Umno mempersembah permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pertimbangan pengampunan kepada Najib adalah mengikut prosedur perundangan sedia ada dan tiada desakan politik.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut menyentuh rundingan mengenai pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata perbincangan di peringkat negeri diadakan antara BN dengan Pakatan Harapan (PH).

“Kita tidak akan menggunakan pendekatan parti politik dalam gabungan, parti komponen untuk mengadakan perbincangan secara berasingan maka sebarang perundingan hendaklah melibatkan dua parti gabungan iaitu BN dan PH.

“Semua keputusan di bawah perbincangan enam negeri ini akan dibawa ke peringkat tertinggi di mana kita akan terus membincangkan tentang kerusi yang sesuai ditandingi dan insya-Allah, apabila kita mula mengadakan perbincangan ini, kita akan mencari jalan terbaik tentang kebolehmenangan kerusi Dewan Undangan Negeri di enam negeri,” katanya. – Bernama, 28 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen