Umno Kedah gesa Sanusi kemuka gerak kerja selesai masalah air


Umno Kedah juga mahu mahu Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor kemuka laporan garis masa penuh penyiapan kesemua projek loji LRA di negeri itu bagi membuktikan ia berada dalam perkembangan baik dan mengikut jadual. – Gambar Facebook, 28 April 2023.

MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor digesa mengemukakan gerak kerja jangka pendek dan sederhana bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi rakyat di negeri itu.

Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendakwa kelalaian dan kegagalan tadbir urus kerajaan negeri mengakibatkan lebih sejuta pengguna terkesan dengan masalah itu khususnya pada musim perayaan.

Beliau juga mahu Sanusi mengemukakan laporan garis masa penuh penyiapan kesemua projek loji rawatan air (LRA) di negeri itu bagi membuktikan ia berada dalam perkembangan baik dan mengikut jadual.

“Umno Kedah cabar menteri besar untuk bawa media ke setiap tapak LRA berserta taklimat penuh pembangunan LRA daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA), serta kemukakan rasional menganugerahkan dua projek LRA dan Non-Revenue Water (NRW) kepada sebuah syarikat yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Sanusi dilaporkan berkata projek menaik taraf lima LRA di negeri itu berjalan lancar dan dijangka siap mengikut jadual secara berperingkat mulai hujung tahun ini. – Bernama, 28 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen