Kerajaan perpaduan utuh, kata Saifuddin


Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail berkata fokus kerajaan perpaduan ketika ini adalah untuk memulihkan semula ekonomi selepas pandemik Covid-19, kestabilan politik dan menjaga kebajikan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April 2023.

KERAJAAN perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika ini disifatkan sebagai padat, utuh dan berfungsi secara baik serta fokus untuk pulihkan semula ekonomi terutama selepas Covid-19.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehubungan itu desas-desus yang mengatakan kerajaan sedia ada akan digulingkan tidak menjadi ancaman kerana kerajaan perpaduan yang dibentuk daripada gabungan parti politik bersama PH itu mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk rakyat dan negara.

“Saya tidak melihat adanya ancaman daripada pihak luar terhadap kerajaan perpaduan ketika ini, saya juga enggan melayan dan tidak mahu memberikan sebarang maklum balas terhadap desas-desus (kononnya kerajaan perpaduan) ketika ini (akan tumbang seperti didakwa dan tular di media sosial).

“Fokus kami sekarang adalah untuk memulihkan semula ekonomi, membantu rakyat terutama selepas pandemik Covid-19, kestabilan politik, memakmurkan ekonomi, menjaga kebajikan rakyat adalah fokus kami (kerajaan perpaduan) ketika ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Saifuddin ditemui selepas sesi Lawatan Kerja dan Penyampaian Bingkisan Raya kepada pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang bertugas sempena Op Pagar Laut di Kapal Maritim (KM) Burau di George Town, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) memangku tugas Ketua Pengarah APMM Laksamana Madya Maritim Saiful Lizan Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung desas-desus yang tular di media sosial kononnya Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi PH dengan kerjasama Barisan Nasional (BN) akan tumbang dalam tempoh terdekat, malah ada yang meramalkan seawal September ini.

Dakwaan itu berdasarkan sebuah laporan portal berita pada Isnin yang menyatakan gerakan itu disertai oleh beberapa ahli Parlimen yang sebelum ini menyokong Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – Bernama, 28 April 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen