Arab Saudi akan lakukan segala usaha hentikan konflik di Sudan


Pada 15 April, pertempuran ganas antara dua pihak meletus yang berpusat di Khartoum antara pasukan tentera kerajaan dan RSF. – Gambar AFP, 27 April, 2023.

KERAJAAN Arab Saudi akan terus melaksanakan segala usaha untuk menghentikan pertumpahan darah, pertempuran dan memudahcara penyelesaian politik di Sudan.

Dalam satu kenyataan, Kedutaan Arab Saudi di Malaysia berkata kerajaan negara itu sedang berkomunikasi dengan pihak berkenaan di Sudan serta negara sahabat dan pertubuhan antarabangsa berhubung perkara itu.

“Sebarang keputusan khusus yang kami capai akan diumumkan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Arab Saudi, dengan kerjasama negara saudara dan sahabat, menggalakkan gencatan senjata, pembukaan koridor kemanusiaan dan perlindungan bagi orang awam di Sudan.

Ia berkata kerajaan Saudi terus mengatur, menyelaras dan memudahkan pemindahan sepanjang masa bagi memastikan orang awam daripada pelbagai kewarganegaraan dapat keluar dengan selamat dari Sudan, selain menghulurkan semua bantuan kepada negara saudara dan sahabat.

Pada 15 April, pertempuran ganas antara dua pihak meletus yang berpusat di Khartoum. Pasukan tentera kerajaan menuduh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) melakukan pemberontakan dan melancarkan serangan udara terhadap pangkalan mereka.

Abdel Fattah Burhan, ketua tentera Sudan, mengeluarkan dekri membubarkan RSF, dan sejak ikonflik berlaku, beberapa gencatan senjata sementara di seluruh negara dilaksanakan namun konflik itu masih belum selesai.

Kementerian Kesihatan Sudan berkata setakat ini, kira-kira 600 terbunuh dalam pertempuran itu. – Bernama, 27 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen