MAHKAMAH mendedahkan bukti video bagi menafikan tuduhan bahawa kaunter ikat jamin Mahkamah Kuala Lumpur ditutup awal pada Khamis minggu lalu.
Ia didedahkan bagi menangkis tuduhan kaunter ditutup awal sehingga menyebabkan beberapa tertuduh meringkuk di lokap sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri kerana gagal membayar ikat jamin.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam satu kenyataan di Instagram mendedahkan rakaman menunjukkan kaunter itu masih beroperasi sehingga jam 4 petang pada tarikh tersebut.
“Kaunter ikat jamin di Mahkamah Kuala Lumpur (yang terletak bertentangan dengan mesin ATM Maybank) masih beroperasi dan orang awam masih berurusan sehingga jam 4 petang.”
Penjelasan itu merujuk kes melibatkan 10 lelaki yang didakwa dengan tuduhan menipu pada tarikh tersebut.
Peguam tertuduh, Alvin Tan yang dipetik dalam satu laporan mendakwa kaunter ditutup sejak jam 2.53 petang pada Khamis.
Pejabat Ketua Pendaftar kemudian dalam satu kenyataan pada Isnin menjelaskan kesemua enam tertuduh dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah.
Bagaimanapun, hanya empat penjamin hadir ke mahkamah bagi ikat jamin, menurut kenyataan itu.
Tiada penjamin tampil ke mahkamah bagi enam yang lain sehingga kaunter ditutup pada 4 petang, kenyataan itu dipetik. – 27 April, 2023.
Komen