Mogok dijangkakan di lapangan terbang Perancis pada hujung minggu


Mulai petang Ahad hingga pagi Selasa, pembatalan dan kelewatan penerbangan dijangkakan berlaku di beberapa lapangan terbang di Perancis susulan anjuran mogok anti undang-undang persaraan. – Gambar AFP, 27 April, 2023.

PELANCONG yang terbang masuk dan keluar dari Perancis, sekali lagi perlu bersiap sedia menghadapi bantahan terbaharu ke atas undang-undang pembaharuan pencen kerajaan.

Mulai petang Ahad hingga pagi Selasa, pembatalan dan kelewatan penerbangan dijangkakan berlaku  di lapangan terbang Paris Orly dan Paris Charles de Gaulle serta di Marseille, Lyon, Bordeaux, Nantes, Toulouse, Nice dan Beauvais, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik kenyataan pihak berkuasa penerbangan awam Perancis semalam.

Keputusan kerajaan, yang diluluskan Presiden Emmanuel Macron pada pertengahan Mac, menaikkan umur persaraan daripada 62 kepada 64, kini sudah pun menjadi undang-undang.

Bagaimanapun, kesatuan sekerja sekali lagi akan mengadakan bantahan dan mogok di seluruh negara pada Isnin sempena Hari Pekerja Antarabangsa. – Bernama, 27 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen