Jerusalem Jubilee diharamkan


Low Han Shaun

Poster acara itu tular dan menimbulkan bantahan pihak yang menyifatkannya usaha Kristianisasi di Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Jun, 2017.

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengarahkan polis mengharamkan perhimpunan “Jerusalem Jubilee” di Melaka minggu depan, walaupun penganjur sudah memutuskan untuk membatalkan acara itu.

“Bila hati umat Islam tersentuh, terhiris, dilukai ...saya sebagai menteri dalam negeri mengarahkan pihak polis mengharamkan perjumpaan itu. Ini adalah mesej yang lantang dan jelas.

“Sesiapa yang menganjurkan Jerusalem Jubilee, permit kamu dibatalkan di bawah arahan rasmi saya selaku menteri hal ehwal dalam negeri,” katanya dipetik daripada Bernama.

semasa berucap pada program Penerapan Nilai-nilai Murni di Bulan Ramadan Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.

Zahid berkata jika acara itu diteruskan, ia akan melukakan sensitiviti umat Islam.

Beliau juga dipetik sebagai berkata beberapa laporan polis dibuat di ibu pejabat polis di Bukit Aman.

Terdahulu, dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, penganjur All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC) berkata acara itu adalah upacara sembahyang menghimpunkan penganut Kristian dari Malaysia dan Asia Pasifik, dan menafikan dakwaan PAS yang ia bertujuan mempromosi “Kristianiti Zionis” dan “Budaya Yahudi”.

“AMGGRC ialah perhimpunan sembahyang di mana gereja di Malaysia dan rantau ini berniat untuk berdoa untuk Malaysia, Asean dan Asia Pasifik selain untuk memahami hubungan spiritual dan makna Jerusalem menurut kitab suci Kristian, Bible,” kata kenyataan itu.

“AMGGRC tidak berniat untuk menimbulkan provokasi dan mencabar sensitivi orang Melayu dan Islam di Malaysia.

“Ia tidak pernah membawa sebarang maksud, kesan atau apa sahaja maksud politik berkaitan pada masa sekarang mahupun masa depan.

“Sangat dikesali kerana apa yang bermula dengan niat baik untuk berdoa demi keamanan dan kesejahteraan Malaysia menimbulkan banyak kekeliruan dan salah faham dalam kumpulan tertentu.”

Walaupun kenyataan itu menyebut yang acara itu “tidak lagi akan diadakan” di Calvary Life Assembly Chinese Church, ia tidak menyebut sama ada perhimpunan “Jerusalem Jubilee” itu akan dibatalkan atau tidak.

Peguam CLAC Yap Koon Roy berkata yang gereja itu tidak menganjurkan acara itu tetapi hanya menjadi tuan rumah acara yang dijadualkan di Melaka itu.

“Kami masih lagi berbincang dengan pemimpin gereja, tetapi ia menuju ke arah pembatalan.

“Ia bukan acara besar kerana dewan gereja hanya boleh menempatkan lebih kurang 100 orang. Acara itu sepatutnya menjadi acara sembahyang untuk perpaduan negara,” kata Yap kepada The Malaysian Insight dalam perbualan telefon petang tadi.

Katanya lagi Calvary Life di Melaka sudah disoalsiasat polis.

“Apabila kami menerangkan polis tentang keadaan sebenar, mereka juga pening memikirkan bagaimana hendak menangani perkara ini,” katanya.

Dia menambah yang Calvary Life tidak pernah menganjurkan acara seperti itu sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi National Evangelical Christian Fellowship of Malaysia (NECF) Rev Dr Eu Hong

Berkata yang PAS tidak sepatutnya meminta kerajaan mengharamkan acara itu sebelum memahami perkara sebenar.

“Saya percaya pilihan raya semakin dekat dan semua orang sedang mencari isu untuk membuktikan mereka relevan dalam politik.

“Saya fikir mereka tidak sepatutnya campur adukkan politik dengan agama. Samada bersetuju atau tidak dengan acara itu, mereka sepatutnya tidak jadikan ia masalah besar.

“PAS sepatutnya meminta penjelasan penganjur sekiranya mereka tidak pasti acara itu tentang apa.”

EU berkata yang sangat ketara PAS mahu membuktikan sesuatu kepada penduduk dalam kawasan mereka, dengan menyentuh isu seperti ini.

“Saya tidak tahu tentang acara itu jadi saya tak boleh beri komen samada ia berkaitan Zionism.

Menyentuh mengenai acara itu yang diadakan di bulan Ramadan, Eu berkata ia satu kebetulan.

“Terlalu banyak acara yang diadakan di bulan Ramadan, jadi ia bukan isu.”

Sebelum ini, PAS dan Perkasa mempersoalkan tujuan perhimpunan itu dan mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat acara itu.

Kumpulan itu tersinggung apabila mereka menjumpai poster promosi acara itu yang memaparkan ”menorah” emas gergasi tertulis “All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation” dengan warna emas. – 5 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen