Kementerian fokus baik pulih, bina baharu rumah uzur di Kedah, kata Zahid


Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beberapa kawasan penempatan yang mempunyai rumah daif dan rumah uzur di bawah tanggungjawab KKDW dikenal pasti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2023.

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan memberi tumpuan untuk membina rumah baharu serta menggantikan rumah uzur di Kedah dalam usaha menyediakan kediaman yang selesa untuk rakyat di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beberapa kawasan penempatan yang mempunyai rumah daif dan rumah uzur di bawah tanggungjawab KKDW dikenal pasti namun kementerian masih menunggu senarai lengkap daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

“Kita ada (jumlah rumah daif dan uzur di Kedah) tetapi jumlah ini mungkin tidak lengkap sebab kita hanya mengikut senarai eKasih.

“Sehubungan itu kita masih menunggu senarai lengkap untuk mengetahui jumlah sebenar yang memerlukan bantuan pembaikan (rumah) ataupun membina baharu ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas program tinjauan mesra di Desa Keda Sadek di Baling hari ini.

Dalam usaha berkenaan beliau berkata tumpuan akan diberikan terhadap daerah Baling berikutan kawasan itu sudah 11 kali dilanda banjir sepanjang penggal Pilihan Raya Umum (PRU14) lepas.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata KKDW melalui Keda membina lapan unit rumah berkembar Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) di penempatan Desa Keda Sadek di Baling pada tahun lepas yang melibatkan peruntukan RM528,000. – Bernama, 27 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen