PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan peningkatan drastik jumlah kematian di Sudan akibat wabak penyakit dan kekurangan akses kepada air dan makanan, kata ketua pengarah organisasi itu, Tedros Adhanom Ghebreyesus semalam.
“Selain jumlah kematian dan kecederaan yang disebabkan oleh konflik, WHO menjangkakan lebih banyak kematian akibat wabak, kekurangan akses kepada makanan dan air selain gangguan kepada perkhidmatan kesihatan penting, termasuk imunisasi,” kata Ghebreyesus pada taklimat akhbar, lapor Sputnik.
Beliau berkata 61 peratus kemudahan perubatan di ibu negara Sudan, Khartoum ditutup dan hanya 16 peratus bekerja seperti biasa.
Pada 15 April pertempuran ganas antara dua pihak meletus yang berpusat di Khartoum.
Pasukan tentera kerajaan menuduh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) melakukan pemberontakan dan melancarkan serangan udara terhadap pangkalan mereka.
Ketua tentera Sudan Abdel Fattah Burhan mengeluarkan dekri membubarkan RSF dan sejak ikonflik berlaku beberapa gencatan senjata sementara di seluruh negara dilaksanakan namun konflik itu masih belum selesai.
Setakat ini kira-kira 600 orang terbunuh dalam pertempuran, kata Kementerian Kesihatan Sudan.
Sementara itu WHO melaporkan lebih 450 kematian dan lebih 4,000 lagi cedera. – Bernama, 27 April, 2023.
Komen