Alwi sah tidak pertahan kerusi Dun Kok Lanas, lapor media


Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Md Alwi Che Ahmad tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Kok Lanas untuk memberi ruang kepada generasi muda berkhidmat sebagai pemimpin. – Gambar Facebook, 27 April, 2023.

AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno Md Alwi Che Ahmad tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Kok Lanas pada pilihan raya negeri Kelantan yang akan diadakan tahun ini, lapor Utusan Malaysia.

Beliau menyandang kerusi itu sejak 2008 selepas sepenggal sebelumnya jadi Ahli Parlimen Ketereh.

Alwi, 66, berkata beliau mahu bersara untuk memberi ruang kepada generasi muda berkhidmat sebagai pemimpin.

“Sepatutnya kita ambil masa kongsi pengalaman dengan orang baru, latih generasi baharu untuk ambil alih tampuk pentadbiran negara dan itu hasrat saya.

“Kalau nak bersara…bersaralah waktu rekod kita bagus. Jangan bersara semasa kita sudah kalah, masa orang sudah benci dan buang kita, ” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Alwi mula aktif berpolitik sejak tahun 1986 dan pernah memegang beberapa jawatan kanan antaranya setiausaha politik menteri dan setiausaha politik Perdana Menteri.

Beliau juga pernah menjadi pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) antaranya Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Alwi berpendapat mana-mana pemimpin yang sudah berumur lebih 65 tahun sepatutnya berundur untuk memberi jalan kepada generasi yang lebih muda.

Mereka bagaimanapun masih boleh menyumbang khidmat bakti walaupun tanpa berjawatan, katanya.

“Pada saya, usia 70 tahun sudah maksimum. Saya sedang fikir dan latih orang baru… dalam bahagian (Umno Ketereh) saya latih muda,” katanya.

Alwi menjelaskan beliau sendiri pun dilatih semasa muda oleh pemimpin atasannya seperti Dr Mahathir Mohamad dan Musa Hitam, dan mahu melakukan yang sama kepada generasi sekarang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Alwi mengalahkan calon PAS Nik Mahadi Nik Mahmood dan calon Pakatan Harapan Dr. Mohd. Hanapi Ismail dari PKR untuk mempertahankan kerusi Dun Kok Lanas dengan majoriti 1,122 undi.

Beliau memperbaiki majoriti yang dimenangi pada dua pilihan raya umum sebelum itu iaitu 169 undi pada PRU 2013 dan 580 undi pada PRU 2008. – 27 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen