ASA Hutchinson, bekas gabenor negeri Arkansas AS secara rasmi melancarkan bidaannya semalam untuk menjadi calon presiden Parti Republikan 2024.
“Hari ini saya mengumumkan saya adalah calon presiden Amerika Syarikat,” kata Hutchinson kepada penyokong di Bentonville, Arkansas, tempat kelahirannya sehari selepas Presiden Joe Biden mengumumkan beliau akan bertanding untuk penggal kedua, lapor Xinhua.
Hutchinson, 72, juga bekas ahli kongres, pentadbir Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) dan pegawai keselamatan sempadan adalah anggota Republikan kelima mengumumkan pencalonan bagi jawatan presiden dengan angka calon dijangka meningkat apabila musim kempen mula hangat.
“Daripada Kongres kepada DEA kepada Keselamatan Dalam Negeri, saya berkhidmat kepada negara kita semasa krisis.
“Sebagai gabenor Arkansas, kami mengurangkan cukai dan merekodkan lebihan. Kami meningkatkan gaji guru. Kami mengurangkan peraturan, industri merekrut pekerja dan sektor swasta menambah lebih 100,000 pekerjaan. Keberanian saya diuji,” katanya.
Hutchinson mendakwa beliau mengetahui cara untuk mengimbangi belanjawan dan tidak mahu perang “tidak berkesudahan” di Ukraine sambil menekankan Amerika Syarikat mesti menjamin sempadan selatannya dan meletakkan Keselamatan Sosial dan Medicare pada laluan yang lebih mampan.
Dalam ucapannya Hutchinson tidak menyebut nama bekas Presiden Donald Trump yang merupakan calon Republikan pertama yang secara rasmi mengumumkan pencalonan presiden 2024.
Dalam temu bual dengan CBS News pada hujung minggu Hutchinson bagaimanapun berkata “peluang terbaik Republikan adalah untuk mempunyai wajah baharu”.
Calon Republikan lain yang secara rasmi menyertai perlumbaan untuk pencalonan presiden parti termasuk Nikki Haley, bekas gabenor Carolina Selatan dan bekas duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Vivek Ramaswamy, bekas eksekutif bioteknologi, dan Larry Elder, hos radio konservatif.
Gabenor Florida Ron DeSantis dianggap sebagai saingan utama Trump dalam Republikan, namun beliau belum mengumumkan secara rasmi kempen presiden setakat ini. – Bernama, 27 April, 2023.
Komen